Harga minyak jatuh susulan isyarat perjanjian damai Iran

Harga minyak jatuh susulan isyarat perjanjian damai Iran

WASHINGTON: Harga minyak turun untuk hari kedua pada Rabu berikutan jangkaan bekalan dari wilayah pengeluar utama Asia Barat mungkin kembali pulih selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membayangkan kemungkinan perjanjian damai dicapai bagi menamatkan perang dengan Iran.

Niaga hadapan minyak mentah Brent bagi bulan Julai jatuh 1.38 peratus, iaitu AS$1.52 (RM6) kepada AS$108.35 (RM428.31) setong setakat 9.03 pagi waktu Malaysia, selepas susut empat peratus pada sesi sebelumnya.

Manakala niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) bagi bulan Jun merosot 1.47 peratus iaitu AS$1.50 (RM5.92) kepada AS$100.77 (RM398.36), selepas ditutup rendah 3.9 peratus pada hari sebelumnya.

Trump secara mengejut memaklumkan akan menghentikan seketika operasi mengiring kapal melalui Selat Hormuz dengan alasan terdapat kemajuan ke arah perjanjian komprehensif dengan Iran, tanpa memberikan butiran lanjut mengenai perjanjian tersebut.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Tentera Laut AS akan meneruskan sekatan terhadap pelabuhan-pelabuhan Iran.

Selat Hormuz, yang biasanya membawa kargo bersamaan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli dunia, telah terputus sejak perang AS-Israel menentang Iran bermula pada 28 Februari lalu.

Kekurangan bekalan di pasaran global telah melonjakkan harga minyak dengan Brent didagangkan pada paras tertinggi minggu lalu sejak Mac 2022.

“Kami telah bersetuju bahawa sementara sekatan akan kekal berkuat kuasa sepenuhnya, Project Freedom akan ditangguhkan untuk tempoh yang singkat bagi melihat sama ada perjanjian itu dapat dimuktamadkan dan ditandatangani,” tulis Trump di media sosial.

Pengumuman ini dibuat hanya beberapa jam selepas Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memberi taklimat mengenai usaha mengiring kapal tangki yang terkandas melalui selat berkenaan.

Terdahulu pada Isnin, tentera AS memaklumkan telah memusnahkan beberapa bot kecil Iran serta peluru berpandu krus dan dron semasa mengiringi dua buah kapal keluar dari Teluk.

Penutupan Selat Hormuz menyebabkan inventori global menyusut ketika kilang penapis cuba menampung kekurangan tersebut.

Lapor Reuters, sumber pasaran memetik data Institut Petroleum AS (API) melaporkan inventori minyak mentah AS jatuh 8.1 juta tong bagi minggu berakhir 1 Mei, sementara stok petrol dan sulingan masing-masing turut mencatatkan penurunan sebanyak 6.1 juta tong dan 4.6 juta tong.

Scroll to Top