am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki melarikan diri daripada polis membawa padah apabila kereta dipandunya terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Ampang, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 6.15 petang, suspek berusia 31 tahun yang memandu Perodua Bezza gagal berhenti selepas diarahkan oleh unit kereta peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, suspek kemudian melarikan diri sehingga memaksa polis mengejar kenderaannya bermula dari Pandan Indah sehingga ke lokasi kejadian.
Menurutnya, apabila tiba di Jalan Ampang, suspek dipercayai gagal mengawal kereta sebelum melanggar dua kenderaan lain yang ketika itu sedang berhenti di lampu isyarat merah.
“Kenderaan suspek melanggar Perodua Aruz dipandu seorang wanita berusia 42 tahun dan Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 35 tahun.
“Bagaimanapun kemalangan berkenaan hanya membabitkan kerosakan kenderaan dan tiada mangsa cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, suspek ditahan di lokasi kejadian sebelum pemeriksaan menemui dadah jenis pil yaba seberat 4.7 gram.
Katanya, ujian saringan awal air kencing juga mendapati suspek positif amphetamine dan methamphetamine selain permohonan reman ke atasnya sudah dibuat bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, video memaparkan kemalangan membabitkan tiga kenderaan dan sebuah kenderaan dikejar polis di Jalan Ampang tular di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd




