
SME Malaysia dan NRES komited untuk memperkukuh kerjasama dalam memacu masa depan yang lebih inklusif dan mampan bagi PKS di Malaysia. Foto fail Bernama
PERSATUAN SME Malaysia (SME Malaysia) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited untuk memperkukuh kerjasama dalam memacu masa depan yang lebih inklusif dan mampan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia.
Menurut persatuan itu dalam kenyataan pada Rabu, komitmen tersebut telah dinyatakan pada perbincangan strategik dengan Menteri Datuk Seri Arthur Joseph Kurup baru-baru ini.
“Perbincangan itu menggariskan komitmen bersama untuk menyelaraskan ekosistem PKS Malaysia dengan keutamaan kemampanan negara selain memastikan PKS kekal berdaya saing dan berdaya tahan dalam jangkaan alam sekitar, kemampanan dan tadbir urus (ESG) global yang berubah,” katanya.
SME Malaysia memaklumkan perbincangan itu tertumpu pada tiga keutamaan strategik, iaitu meningkatkan keupayaan PKS dalam amalan ESG untuk menyokong integrasi dalam rantaian bekalan global dan menyokong rangka kerja dasar yang praktikal dan berteraskan PKS serta meningkatkan akses kepada pembiayaan untuk memudahkan transformasi yang mampan.
Selain itu, menurutnya, memperluas inisiatif bagi melengkapkan PKS dengan pengetahuan, instrumen dan kerjasama yang diperlukan untuk peralihan hijau.
Menurutnya, perkara utama perbincangan tersebut ialah potensi rangka kerja cukai karbon Malaysia.
“Menteri menekankan bahawa pertimbangan dasar tidak seharusnya terhad kepada sektor sasaran atau syarikat besar sahaja, malah perlu menggabungkan perspektif PKS.
“Menteri turut menyatakan sokongan supaya PKS dapat memberikan input secara aktif kepada kementerian untuk memastikan pembangunan dasar kekal bersifat konsultatif, inklusif dan mencerminkan ekosistem perniagaan yang lebih luas,” menurut persatuan itu.
Presiden SME Malaysia, Chin Chee Seong berkata, persatuan mengekalkan komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan melalui model perkongsian awam-swasta untuk memacu agenda kemampanan Malaysia dan sejajar dengan Matlamat Pembangunan Kemampanan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
“Persatuan berharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi hijau yang berdaya tahan dan berdaya saing selain memastikan penggubalan dasar kekal inklusif dan mewakili PKS dalam semua sektor,” katanya. – Bernama



