sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap orang ramai tidak terlalu beremosi apabila skuad lelaki negara hanya mampu mara ke suku akhir dan gagal mencapai sasaran awal untuk muncul juara pada Piala Thomas di Horsens, Denmark, minggu lalu.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, beliau menyedari ramai pihak kecewa dengan keputusan itu, namun bagi badan induk berkenaan, mereka mempunyai perancangan yang lebih terperinci dalam jangka masa panjang iaitu sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
Menurut Kenny, BAM akan memastikan setiap kejohanan yang disertai pemain negara sama ada secara individu atau berpasukan, dinilai berdasarkan penanda aras (milestone) penting dalam peta hala tuju (roadmap) menjelang LA28.
“Kita ada satu roadmap iaitu LA28 dan dalam mencapai roadmap itu kita ada banyak milestone. Ada penanda aras yang kita capai dan ada yang mungkin kita tidak capai. Jadi kalau tidak capai, sudah tentu kita perlu tahu kenapa kita gagal mencapainya.
“Tetapi kita tidak seharusnya mempunyai reaksi melulu setiap kali kalah dalam satu kejohanan,” katanya pada sidang media Masters Malaysia yang akan berlangsung di Unifi Arena dari 17 hingga 24 Mei ini.
Untuk rekod, kegagalan Malaysia meraih gelaran pada edisi kali ini menyaksikan mereka terus kemarau kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 1992, iaitu 34 tahun lalu.
Sebelum ini, Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melancarkan semula program Road to Thomas Cup 2026 pada Ogos tahun lalu dengan harapan Malaysia mampu muncul juara, selain menjadi sebahagian daripada pelan strategik komprehensif Tangkis 2030.
Ketika ditanya mengenai peluang pasukan negara bersinar di Sukan Asia 2026, beliau yakin barisan jurulatih dan pemain mampu melakukan sesuatu dalam tempoh berbaki sebelum temasya itu bermula, termasuk kemungkinan melakukan rombakan dalam acara perseorangan.
“Sukan Asia juga salah satu penanda aras penting. Saya percaya jawatankuasa prestasi dan jurulatih akan berbincang sebelum membuat keputusan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




