Dakwaan sifar miskin tegar tak tepat! Sultan Selangor titah masih ramai memerlukan

Dakwaan sifar miskin tegar tak tepat! Sultan Selangor titah masih ramai memerlukan

Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan dakwaan kononnya kemiskinan tegar telah dihapuskan sepenuhnya di Selangor adalah tidak tepat kerana masih wujud golongan fakir dan miskin yang memerlukan bantuan.

Bimbang masyarakat tersalah tafsir

Menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office, baginda tidak mahu masyarakat tersalah tafsir hingga menganggap tiada lagi individu layak menerima zakat di negeri itu.

“Namun, di sebalik pencapaian itu, terdapat pertambahan kira-kira 14,000 keluarga baharu dalam kategori fakir dan miskin di negeri ini,” menurut kenyataan tersebut pada Rabu.

Angkat agihan zakat cermin realiti sebenar

Berdasarkan data Lembaga Zakat Selangor, agihan zakat tahun lalu mencecah RM1.33 bilion dengan kutipan RM1.31 bilion, namun angka itu turut mencerminkan realiti masih ramai memerlukan bantuan.

“Daripada keseluruhan agihan tahun lalu, lebih 60 peratus disalurkan khusus kepada golongan fakir dan miskin melibatkan lebih 75,000 keluarga di seluruh Selangor.
“Dalam masa sama, lebih 2,800 keluarga berjaya keluar daripada kitaran kemiskinan hasil pelbagai intervensi berterusan dilaksanakan,” jelas kenyataan berkenaan.

Baginda turut menzahirkan kebimbangan sekiranya persepsi bahawa tiada lagi fakir miskin boleh menjejaskan kutipan zakat pada masa hadapan.

Dalam masa sama, baginda bertitah keutamaan agihan perlu terus diberikan kepada keperluan asas seperti bantuan kewangan bulanan, makanan, perumahan serta pendidikan, selain berharap pengurusan zakat dilaksanakan secara telus dan berintegriti.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan menyatakan isu kemiskinan tegar di Selangor telah dinoktahkan hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif pembasmian kemiskinan.

Scroll to Top