MB minta rakyat Negeri Sembilan bersedia hadapi pilihan raya negeri

MB minta rakyat Negeri Sembilan bersedia hadapi pilihan raya negeri

am@hmetro.com.my

Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meminta rakyat negeri itu bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Tanpa menyatakan bila ia akan diadakan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu berkata, kemelut dalaman politik yang berlaku ketika ini diluar jangkaan.

“Saya mahu rakyat Negeri Sembilan, penduduk negeri ini, bersiap sedia menghadapi pilihan raya. Mereka tak puas hati. Hari ini kenyataan demi kenyataan (dikeluarkan). Seolah-olah kita terpaksa menerima.

“Tetapi kita juga manusia. Saya juga manusia. Saya juga rasa tercalar. Saya juga rasa hiba. Rakan-rakan seperjuangan juga rasa terperanjat.

“Peristiwa yang berlaku awal pagi tanpa satu perkara yang dimaklumkan kepada rakan-rakan yang lain. Ini merupakan satu perkara yang cukup di luar perancangan ataupun pengetahuan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana Pimpinan PH di pekarangan Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

UMNO Negeri Sembilan dalam kenyataan hari ini memaklumkan menerima keputusan untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan, namun pendirian dan tindakan menarik sokongan kepada Menteri Besar, kekal.

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR dalam ucapannya itu kemudian meminta seluruh jentera PH negeri ini menyusun strategi dan persiapan untuk berdepan sebarang kemungkinan politik selepas ini.

“Jadi saya berharap kepada semua, bahawa apa yang penting sebagai ahli parti, penyokong parti, sebagai orang atas pagar maklum perkara ini. Maklum bahawa apa yang penting, kita kena kuatkan jentera kita.

“Kita kena kuatkan saf-saf kita. AMANAH, PKR dan DAP harus kita bersiap sedia dalam apa cara sekalipun. Di Negeri Sembilan ini dan di Malaysia ini. Kita kena bersiap sedia. Kita kena bekerja sebagai satu pasukan memastikan kemenangan dalam pilihan raya,” katanya.

Aminuddin turut menzahirkan rasa kecewa, ketika krisis global mula memberi cabaran besar kepada ekonomi negara, mereka memilih untuk mencipta kemelut politik yang tidak menguntungkan rakyat.

“Dalam keadaan ekonomi dunia yang tak menentu hari ini, kita tidak boleh lagi bergerak seperti biasa. Hari ini bukan kita nak cerita politik, politik, politik.

“Kita mahu cerita bagaimana kita boleh tawan hati rakyat dengan mengurangkan bebanan mereka, betul tak? Ini yang harus kita lakukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top