syafil.syazwan@hmetro.com.my
SELEPAS sekian lama menanti detik paling bermakna dalam kerjaya muzik mereka, kumpulan rock moden, MADAM akhirnya menarik nafas lega dengan pelancaran album sulung berjudul MADAM: The Album.
Memuatkan lapan lagu baharu itu hasil titik peluh dan penantian selama setahun yang penuh cabaran serta pembelajaran buat band yang dianggotai Putera Muhammad, Fadhil Qayyum, Herman Kamal dan Azuan Tarmizi ini.
Selaku vokalis kumpulan, Putera memaklumkan proses penghasilan muzik dan rakaman album ini sebenarnya memakan masa sekitar tiga bulan, namun perancangan keseluruhannya mengambil masa setahun bermula daripada penulisan lagu pertama sehingga peringkat pelancaran.
Menurutnya, perjalanan ini menjadi lebih lancar dan bermakna apabila mereka kini bergerak secara sendiri selepas tamat kontrak dengan label pengurusan sebelum ini.
“Kepuasan itu pertama sekali adalah rasa bebas sebab kami tidak perlu lagi melalui banyak peringkat pengurusan atau birokrasi yang memakan masa.
“Jika ada perkara yang tidak kena, kami terus berbincang dan selesaikan sesama kami sahaja tanpa perlu menunggu keputusan pihak atasan,” katanya.
Bergerak secara ‘independent’ memberikan ruang buat MADAM untuk lebih mengenali identiti muzik mereka yang berpaksikan genre rock.
Putera menjelaskan bahawa muzik rock bagi mereka ibarat sebuah rumah besar yang mempunyai pelbagai bilik.
Melalui album ini, mereka memilih untuk meneroka satu ‘bilik’ atau dimensi rock moden, manakala untuk karya masa hadapan, mereka tidak menolak untuk meneroka dimensi rock yang berbeza pula.
Selain kualiti muzik, faktor kewangan juga menjadi tunjang utama kejayaan projek ini apabila mereka menerima sokongan dana daripada MyCreative Ventures.
Putera menzahirkan rasa syukur atas bantuan berkenaan kerana ia membolehkan projek album ini direalisasikan dengan lebih sempurna, di samping penggunaan modal sendiri serta kerjasama pengedaran bersama Sony Music Malaysia.
“Dana itu yang memungkinkan album ini disiapkan. Kalau tiada bantuan itu, mungkin kami hanya mampu mengeluarkan lagu single dan menguruskan semuanya secara kecil-kecilan.
Syukur dengan kerjasama pengedaran bersama Sony, urusan kontrak dan segalanya berjalan sangat pantas dalam masa sebulan sahaja,” katanya.
Menyentuh mengenai pembabitan ahli kumpulan, MADAM kini secara rasminya tampil bertiga buat masa ini memandangkan pemain dram mereka, Azuan terikat dengan komitmen pekerjaan di luar Lembah Klang.
Mengenai sasaran album ini, MADAM tidak menafikan keinginan untuk melihat karya mereka diiktiraf di pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL) atau Anugerah Industri Muzik (AIM).
Putera melihat lagu seperti ASMARADUKA dan Tak Mungkin Bersama mempunyai potensi besar untuk menarik perhatian khalayak arus perdana kerana ia dihasilkan mengikut formula pop rock yang lebih mudah diterima ramai.
“Kami buat album ini sambil belajar selok-belok perniagaan muzik. Ada lagu yang kami buat ikut formula semasa, dan ada juga yang memang identiti tulen MADAM tanpa sebarang formula luar.
“Kami mahu orang tahu bahawa MADAM mampu menghasilkan muzik yang berkualiti dan kami sedia untuk mempertaruhkan karya kami dalam mana-mana pertandingan,” katanya.
MADAM berharap dengan lahir album sulung ini, peminat dapat melihat kesungguhan mereka untuk terus kekal relevan dalam industri muzik tanah air sehingga hari tua.
Biarpun sering dianggap sebagai kumpulan yang ‘terlalu bersih’ dan kurang terpalit kontroversi, mereka bangga dengan imej itu dan lebih memilih untuk membiarkan kualiti produk serta karya muzik yang berbicara bagi pihak mereka di mata peminat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




