Anak pemimpin Hamas di Gaza cedera parah dalam serangan Israel

Anak pemimpin Hamas di Gaza cedera parah dalam serangan Israel

ISTANBUL – Anak kepada pemimpin Hamas, Khalil al-Hayya cedera parah dalam serangan udara Israel di Bandar Gaza, menurut kumpulan Palestin itu lewat Rabu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam kenyataan kepada Al Jazeera, al-Hayya berkata, seorang individu bernama Hamza al-Sharbasi terbunuh dalam serangan di kawasan kejiranan Daraj di Bandar Gaza, manakala anaknya, Azzam dan beberapa yang lain cedera parah.

Al-Hayya menyifatkan serangan itu sebagai lanjutan pencerobohan Israel terhadap rakyat dan mengaitkan dengan apa yang didakwanya sebagai usaha Israel menekan perunding Palestin menerusi “pembunuhan, keganasan dan ugutan.”

Beliau berkata, mesej politik di sebalik serangan itu adalah untuk memaksa perunding dan pemimpin Palestin tunduk dengan memberi isyarat bahawa mereka serta anak-anak mereka tidak terkecuali daripada menjadi sasaran.

Walaupun tidak mengesahkan secara jelas sama ada anaknya menjadi sasaran, al-Hayya berkata, Israel “mengaku bertanggungjawab apabila operasi berjaya dan mencipta pelbagai alasan apabila gagal,” sambil menambah pembunuhan bersasar menjadi kejadian harian di bawah dasar ugutan sistematik.

Beliau berkata, serangan sedemikian tidak akan mematahkan semangat rakyat Palestin, sambil menegaskan bahawa rakyat Palestin tidak akan meninggalkan tanah mereka dan tidak akan menyerah kalah.

Al-Hayya turut menuduh Israel gagal mematuhi fasa pertama perjanjian gencatan senjata, dengan lebih 850 rakyat Palestin terbunuh sejak tujuh bulan lalu selain ribuan lagi cedera, di tengah-tengah kebuluran sistematik dan sekatan terhadap penghantaran bantuan.

Beliau berkata, Hamas menyerahkan laporan harian mengenai pelanggaran gencatan senjata kepada pihak pengantara dan penjamin, selain menggesa Amerika Syarikat supaya menekan Israel melaksanakan perjanjian itu.

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas lima rakyat Palestin, termasuk seorang anggota polis terbunuh manakala beberapa yang lain cedera dalam serangan Israel yang menyasarkan perhimpunan orang awam dan sebuah kenderaan polis di utara serta selatan Gaza, ketika pelanggaran gencatan senjata berterusan.

Hamas pada Rabu menuduh Israel meningkatkan serangan di Gaza dan menggesa AS serta negara pengantara campur tangan bagi menghentikan serangan itu.

Perjanjian gencatan senjata Sharm el-Sheikh ditandatangani pada Oktober 2025 di bawah tajaan Mesir, AS, Qatar dan Turkiye, sebelum berkuat kuasa pada 10 Oktober. – Bernama/Anadolu

Scroll to Top