KULIM: Kerajaan Persekutuan terpaksa menyalurkan peruntukan tambahan sekitar RM50 juta bagi memastikan projek pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau di Baling yang kini terbengkalai dapat diselamatkan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tempoh siap projek itu juga dijangka memakan masa sehingga tiga tahun setelah proses lantikan kontraktor penyelamat diselesaikan tidak lama lagi.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan turut terpaksa mengambil alih pengurusan projek itu daripada kerajaan negeri, namun masih memerlukan kerjasama Kedah untuk beberapa proses seperti kebenaran merancang yang perlu diperbaharui.
“Kos asal adalah kira-kira RM100 juta dan bila kita nak menyelamat sudah pasti berlaku notice of change (NOC) dan dianggarkan sekitar RM50 juta kerajaan terpaksa keluarkan bagi menyelamatkan projek itu.
“Daripada awal sejak saya Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air yang memang fokusnya untuk pastikan projek ini siap dan seperti telahan saya nyatakan sekiranya projek ini gagal dilaksanakan akan ada kesan dan bebannya yang sekarang ini terbukti ada kos tambahan kita kena keluarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke tapak projek infrastruktur strategik di Kedah, melibatkan projek menaik taraf LRA dan pembangunan kawasan perindustrian di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), hari ini.
Tambah Akmal Nasrullah, sebelum kontraktor asal ditamatkan tahun lalu, kemajuan projek LRA Sungai Limau adalah kira-kira 20 peratus dan kerajaan menjamin untuk memastikan projek itu kembali ke landasan setelah mengambil alih pengurusannya.
“Selagi projek itu tidak selesai maka cabaran akan berlaku mungkin dari segi kemajuannya kerana bila dah berlaku pembatalan kontrak dan nak mula semula maka kos perlu ditambah dan kedua dari segi masa,” ujarnya.
Sementara itu, bagi projek LRA Bukit Selambau di Sungai Petani, beliau berkata, perkembangan projek turut mencabar kerana kemajuan pembinaan sekitar 51 peratus ketika ini masih terlewat berbanding jadual sebenar.
Ujarnya, meskipun pengurusan projek itu di bawah kerajaan negeri, peringatan tetap diberikan kepada kontraktor supaya menunjukkan kesungguhan kerana sekiranya berlaku kegagalan, beban itu akan kembali kepada Kerajaan Persekutuan seperti LRA Sungai Limau. – UTUSAN




