Saiz perlu selari dengan sasaran penggunaan rumah itu

Saiz perlu selari dengan sasaran penggunaan rumah itu

mahaizura@mediaprima.com.my

IMPIAN memiliki kediaman sendiri semakin mencabar apabila harga hartanah terus melonjak sehingga memaksa ramai mencari alternatif lebih praktikal dan mampu milik.

Dalam landskap itu, konsep ‘tiny house’ yang sudah lama popular di luar negara mula mendapat perhatian di Malaysia sebagai gaya hidup baharu yang lebih ringkas dan fleksibel.

Tidak lagi bergantung kepada keluasan semata-mata, kediaman kecil ini menekankan fungsi, kecekapan ruang dan kos lebih terkawal.

Namun di sebalik tarikan itu, masih banyak perkara asas yang perlu difahami sebelum konsep ini benar-benar sesuai dilaksanakan secara meluas di Malaysia.

Arkitek bertauliah, Ar Aniza Abdul Aziz berkata, cabaran terbesar bukan terletak pada reka bentuk semata-mata, sebaliknya kelulusan dan garis panduan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Antara isu utama ialah keperluan keluasan minimum bagi setiap ruang seperti bilik tidur dan ruang tamu yang mungkin tidak selari dengan konsep tiny house.

“Ini kerana, ruang dalaman tiny house yang terhad juga tidak sesuai untuk menerima tetamu dalam jumlah ramai, mungkin hanya satu atau dua orang pada satu masa.

“Justeru, garis panduan PBT mungkin perlu diperhalusi untuk membenarkan kebolehbinaan ruang untuk tiny house,” katanya.

Beliau berkata, aspek teknikal lain seperti jarak antara rumah, susun atur dan keperluan rintangan api juga perlu dipatuhi walaupun saiz rumah lebih kecil.

Katanya, isu zon tanah juga tidak boleh dipandang ringan apabila ia membabitkan kegunaan tanah perumahan, tetapi mungkin bukan hak milik persendirian sepenuhnya.

“Saiz tanah, status hak milik dan siapa yang bertanggungjawab ke atas kawasan bersama seperti parkir perlu jelas sejak awal.

“Pada masa sama, pembangunan tiny house tetap memerlukan infrastruktur asas seperti jalan, longkang, bekalan air dan elektrik yang lengkap,” katanya.

Menurutnya, bahan binaan turut menjadi kekangan, khususnya ruang bilik air yang lazimnya perlu menggunakan jubin keramik bagi memenuhi piawaian kebersihan.

“Untuk tiny house, mungkin perlu ada kelonggaran dengan penggunaan bahan lain yang masih mampu capai tahap kebersihan setara,” katanya.

Bekas Pensyarah Fakulti Alam Bina Universiti Malaya itu berkata, jika konsep ini berkembang, beberapa perubahan dasar dan perancangan bandar perlu dipertimbangkan secara menyeluruh.

Ia termasuk kawalan kepadatan penduduk supaya sesebuah kawasan tidak menjadi terlalu padat dan menjejaskan keselesaan.

“Daripada segi jenis perumahan, konsep rumah setingkat di atas tanah dilihat lebih sesuai. Namun, susun atur perlu berbeza daripada rumah konvensional.

“Contoh, ruang parkir mungkin perlu diasingkan dan tidak lagi berada di hadapan rumah seperti rumah teres atau banglo.

“Penyediaan kawasan bersama (common area) seperti ruang komuniti dan kemudahan awam perlu dirancang dengan lebih sistematik,” katanya.

Menurut beliau, elemen kawasan hijau juga penting bagi memastikan persekitaran kekal seimbang dan tidak terlalu ‘sesak’ walaupun rumah bersaiz kecil.

Namun, di sebalik cabaran itu, Aniza berkata, konsep tiny house sebenarnya tetap mempunyai tarikan tersendiri jika dilihat daripada sudut gaya hidup dan kos.

“Antara faktor utama konsep ini semakin mendapat tempat kerana gaya hidup lebih ringkas serta lebih murah dibina dan mudah diselenggara berbanding rumah konvensional.

“Ada juga yang menjadikan tiny house sebagai rumah kedua, contohnya tinggal berhampiran tempat kerja untuk elak kesesakan.

“Konsep ini bukan hanya untuk mereka yang ingin mencuba sesuatu yang baharu, namun boleh juga menjadi hartanah yang disewakan,” katanya.

Beliau berkata, konsep ini juga lebih sesuai untuk golongan tertentu seperti individu bujang, pasangan tanpa anak mahupun warga emas.

“Bagi keluarga yang memerlukan ruang lebih besar, tiny house mungkin kurang praktikal untuk jangka panjang,” katanya.

Namun, beliau berkata, kos dalaman rumah boleh meningkat bergantung kepada penggunaan perabot pelbagai fungsi dan reka bentuk kreatif.

“Dalam memastikan keselesaan, reka bentuk memainkan peranan penting termasuk penggunaan konsep terbuka dan pengudaraan baik.

“Perabot pelbagai fungsi serta ruang simpanan tersembunyi menjadi elemen utama dalam memaksimumkan ruang,” katanya.

Dalam konteks cuaca panas dan lembap Malaysia, Aniza berkata, pemilihan bahan binaan yang tidak mudah menyerap haba juga sangat penting.

“Bahan yang sesuai untuk dinding, lantai dan bumbung seperti simen fiber serta simen fiber bertetulang.

“Selain itu, pengudaraan silang serta bukaan tingkap yang mencukupi membantu mengekalkan suhu dalaman yang selesa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top