am@hmetro.com.my
Tasek Gelugor: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengambil perhatian terhadap keluhan dan pandangan yang dikemukakan pesawah berhubung kenaikan kos penanaman padi untuk dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setiap tuntutan serta aduan pesawah sentiasa diteliti pihaknya dan cuba diselesaikan mengikut kepada padanan perbelanjaan serta kepentingan dari semasa ke semasa.
“Kita lihat semua aduan dan ambil semua pandangan itu untuk dibincang di peringkat kementerian yang kita sensitif (akan apa yang dikemukakan).
“Apa yang tuntutan mereka (pesawah) itu, kita kena tengok juga kepadanan perbelanjaan dan sebagainya, misalnya kita lihat sekarang ini, peringkat nak membajak (tanah sawah) Perdana Menteri sendiri luluskan RM200 untuk nak mula membajak.
“Itu yang kita lihat dari kepentingan dari semasa ke semasa dan memanglah subsidi ini pun duit rakyat tapi bagaimanapun kita kena lihat dari semua segi (bagi membantu mengurangkan beban pesawah),” katanya ketika diminta mengulas berhubung keluhan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) yang meminta kerajaan membantu golongan pesawah yang terpaksa menanggung kenaikan kos penanaman padi yang membebankan mereka.
Terdahulu, Mohamad merasmikan Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Dewan MPKK Kampung Guar Petai, di sini, hari ini.
Semalam PeSAWAH memaklumkan kos penanaman padi di seluruh negara kini dikatakan melambung sehingga mencecah antara RM6,000 ke RM7,000 per hektar berikutan krisis tenaga dan ketiadaan subsidi diesel untuk sektor berkenaan.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob dilaporkan berkata, Bantuan Khas Insentif Pembajakan sebanyak RM200 per hektar dijangka tidak mampu menyelesaikan isu struktur kos operasi pertanian yang semakin meruncing.
Beliau berkata, bantuan berjumlah RM48 juta itu umpama memberi ubat penahan sakit tanpa memberikan antibiotik sebenar kepada petani untuk menyembuhkan penyakit.
Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan sentiasa bekerja dan bersedia mencari jalan bagi memastikan bekalan makanan mencukupi.
“Ketika ini bekalan makanan utama negara masih stabil. Stok penimbal beras negara berada sekitar 300,000 tan.
“Bekalan ayam dan telur juga berada pada tahap sara diri yang baik.Saya juga ingin berpesan tentang sikap kita sebagai rakyat.
“Dalam keadaan dunia tidak menentu, kita mesti berjimat, elak pembaziran dan jangan panik membeli, kerjasama rakyat amat diperlukan dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



