Ujian Rickymil, wang hantaran dan persiapan pertunangan hangus terbakar

Ujian Rickymil, wang hantaran dan persiapan pertunangan hangus terbakar

am@hmetro.com.my

Tawau: Tinggal hanya dua hari sebelum majlis pertunangannya berlangsung, seorang pemuda berdepan dugaan apabila wang hantaran, cincin dan pelbagai persiapan dilakukan sejak sebulan lalu musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kebakaran berlaku di rumah keluarga di Blok 5 Kampung Titingan, di sini kira-kira 1.30 tengah hari dan Rickymil Ramli, 22, menganggarkan kerugian melebihi RM20,000.

Rickymil berkata, majlis pertunangannya dijadual pada Ahad dan semua persiapan sudah tersedia termasuk mengedar jemputan kepada saudara dan penduduk kampung.

“Hari ini saya sebenarnya bercadang mahu memasukkan sebahagian wang hantaran ke dalam bank, tetapi tidak sangka diuji begini.

“Semua persiapan termasuk cincin dan wang hantaran hangus terbakar, namun saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika kebakaran itu dia berada di tempat kerja dan bergegas pulang serta mendapati rumah keluarganya serta dua lagi rumah ahli keluarga yang terletak bersebelahan musnah.

Sementara itu, bapa saudaranya, Irasmi Baso, 49, berkata api merebak dengan cepat, dipercayai akibat cuaca panas dan angin, malah menyukarkan usaha pemadaman oleh penduduk kampung yang cuba membantu sebelum ketibaan bomba.

Katanya, usaha memadam kebakaran juga lebih sukar disebabkan tekanan air rendah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin memaklumkan pihaknya menerima panggilan pada 1.36 tengah hari dan dua jentera dan sebuah lori tangki air bersama 21 anggota dikerah ke lokasi kejadian.

“Pasukan berjaya mengawal kebakaran kira-kira 30 minit kemudian dan menyelamat 200 rumah lain yang berhampiran. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top