PETALING JAYA: Pandangan dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu penternakan babi adalah berasas, susulan pelbagai keterlanjuran yang berlaku sehingga menjejaskan kesihatan awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu berlaku akibat kurang kawalan terhadap operasi penternakan termasuk yang dibangunkan berhampiran kawasan penempatan penduduk.
“Tuanku Sultan Selangor berkenan mengemukakan pandangan kerana apa yang berlaku sekarang terlalu banyak keterlanjuran, menjejaskan kesihatan awam dan kurang pengawalannya,” katanya dalam sidang akhbar penutup Sidang Kemuncak ASEAN Ke-48 di Cebu, Filipina hari ini.
Menurut Anwar, beliau secara prinsip tidak bersetuju penternakan khinzir dibangunkan tanpa kawalan termasuk terlalu hampir dengan kawasan penempatan penduduk.
“Pada prinsip saya tidak setuju umpamanya penternakan khinzir itu di mana-mana (penempatan) mesti kawalannya ketat, mesti kawasan yang jauh daripada penduduk.
“Bukan sahaja penduduk Muslim, penduduk Cina pun tidak mahu duduk di kawasan tersebut, jadi biar jauh sedikit, itu satu.
“Kedua, teknologi itu mesti canggih. Selain itu, jaminan pencemaran, maknanya tidak berlakunya pencemaran,” katanya.
Beliau berkata, operasi penternakan juga perlu menggunakan teknologi moden, selain memberi jaminan tiada pencemaran berlaku.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan sukar untuk menyekat sepenuhnya industri berkenaan sekiranya pengusaha mampu memenuhi syarat ketat yang ditetapkan.
“Kalau ada syarikat yang boleh memenuhi syarat-syarat yang ketat itu, tentunya bagi pihak kerajaan sukar untuk mengatakan tidak boleh,” jelasnya.
Menurut beliau, kerajaan telah meneliti perkara itu dan beliau akan menghadap Sultan Selangor bagi memohon perkenan mendapatkan penjelasan lanjut.
Katanya, antara kebimbangan utama dibangkitkan ialah kewujudan ladang penternakan berhampiran kawasan kampung dan perumahan termasuk di Klang.
“Ini sebabnya, sementara waktu noktahlah dulu,” katanya.
Semalam, Sultan Sharafuddin menegaskan pendirian baginda untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda bertitah pendirian itu dibuat selepas mengambil kira implikasi penternakan babi yang boleh menyebabkan pencemaran tanah, udara serta risiko pencemaran sumber air melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan. – UTUSAN




