Pelajar Uzbekistan ungguli pidato Bahasa Melayu

Pelajar Uzbekistan ungguli pidato Bahasa Melayu

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pelajar dari Uzbekistan, Abdullayeva Madinabonu Nizomiddin Qizi diumumkan juara Kategori Antarabangsa, Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu, Piala Perdana Menteri 2026 (PABM), malam tadi.

Abdullayeva yang menuntut di Universiti Pengajian Oriental Tashkent menewaskan peserta dari Russia, Sergei Erkmakov yang menduduki tempat kedua dan Qiu Ziyi (China) di tempat ketiga.

Selainnya, turut diumumkan sebagai juara bagi Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia ialah Amna Masood dari Pakistan yang menuntut di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Aiena Batrisya Sulaiman dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang memenangi kategori Alam Melayu.

Juara setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 bersama piala, manakala tempat kedua meraih RM8,000 dan ketiga RM5,000.

Abdullayeva ketika ditemui berkata, dia sangat meminati Bahasa Melayu dan menzahirkan kesyukuran kerana usahanya selama dua bulan membuahkan hasil, malah menyifatkan kemenangan itu sebagai sejarah paling besar berlaku dalam hidupnya.

“Saya sangat gembira, syukurlah saya berjaya menjadi juara kali keempat untuk Uzbekistan dalam pertandingan ini. Terima kasih tidak terhingga kepada guru saya di universiti di Tashken serta Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Ketika pertandingan tadi saya sangat takut jika terlupa skrip untuk dilontarkan, namun Alhamdulillah saya akhirnya dinobatkan sebagai juara.

“Saya hanya mengetahui mengenai Bahasa Melayu selepas memasuki universiti dan terus jatuh cinta pada bahasanya. Tapi saya akui untuk belajar bahasa ini agak sukar kerana gaya dan sebutannya,” katanya.

Majlis itu dirasmikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir secara dalam talian kerana ketika ini berada di Uzbekistan bagi lawatan kerja.

PABM edisi ini menerima 174 penyertaan daripada 21 negara termasuk Malaysia. Daripada jumlah itu, 99 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat saringan, sebelum 50 peserta terbaik dipilih ke peringkat pusingan awal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top