Tanah runtuh empat meter dari rumah penduduk

Tanah runtuh empat meter dari rumah penduduk

hafidzul@hmetro.com.my

Ampang Jaya: Keluarga yang tinggal di sebuah rumah di Kampung Bukit Sungai Putih, di sini terpaksa meninggalkan kediaman mereka selepas berlaku runtuhan tanah, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.17 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi dan tiba kira-kira lima minit kemudian.

“Komander operasi melaporkan terdapat runtuhan tanah dengan jarak kira-kira empat meter dari kawasan rumah terbabit.

“Semua penghuni rumah diarahkan keluar sebagai langkah keselamatan dan anggota turut menjalankan pemantauan di sekitar kawasan bagi memastikan tiada sebarang kemerbahayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak bomba turut memaklumkan kejadian itu kepada pihak majlis untuk tindakan lanjut.

Katanya, operasi membabitkan enam anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT).

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Ts Hasrolnizam Shaari turun padang meninjau kejadian pergerakan tanah di kawasan berkenaan pada 6 petang.

“Skuad Pantas MPAJ turut hadir sejurus menerima laporan untuk melaksanakan tindakan awal dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk sekitar sentiasa terpelihara,” katanya.

Katanya, orang ramai yang ingin membuat aduan kecemasan atau memerlukan bantuan boleh menghubungi Skuad Pantas MPAJ di talian 03-4285 7333.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top