amir_hamid@mediaprima.com.my
BAGI peminat seni bina Mediterranean, rona putih bersih yang dipadankan dengan birunya air laut sering kali menjadi bayangan percutian impian di Santorini, Greece.
Namun, siapa sangka suasana mendamaikan itu kini berjaya diterjemahkan ke sebuah kediaman lot tepi di Saujana Impian, Kajang, Selangor.
Telaga House II bukan sekadar sebuah inap desa, ia adalah naskhah transformasi berani seorang pemilik yang ingin memberikan nafas baharu kepada struktur asal kediaman yang dibeli sejak tahun 2017.
Menurut pemiliknya, Rosita Ghazali, 55, rumah yang asal dahulunya sangat menonjolkan empat tiang besar Roman di perkarangan kediaman.
“Ketika proses ubah suai, saya memilih tema Santorini. Warna putih menjadi pilihan dominan bukan sekadar untuk estetika, tetapi atas faktor praktikal.
“Ia mampu memantulkan haba matahari, sekali gus menjadikan ruang dalaman terasa lebih sejuk dan nyaman, sangat sesuai dengan cuaca panas di Malaysia,” katanya.
Kini, kediaman berkeluasan 274 meter persegi itu tampil minimalis, namun tetap memukau pandangan.
Tiang-tiang Roman yang dahulunya nampak ‘berat’, kini bertukar wajah menjadi lebih moden dan kemas dengan simbahan cat putih, memberikan ilusi ruang yang lebih luas dan bersih.
Sesuai dengan nama ‘Telaga’, tumpuan utama pada bahagian laman luar sudah semestinya kolam renang yang dibahagikan kepada zon kanak-kanak dan dewasa.
Kehadiran pohon hijau di sepanjang pagar putih bukan sahaja menambah elemen tropika, malah bayangannya yang terpantul pada permukaan air kolam mewujudkan suasana resort yang cukup tenang.
Satu ciri yang paling mencuri tumpuan ialah pembinaan pelantar istimewa setinggi 3.5 meter di pinggir kolam.
Reka bentuk bumbungnya yang melengkung memberikan karakter unik, namun fungsinya lebih daripada sekadar tempat santai.
“Pelantar ini mempunyai fungsi ganda. Selain menjadi sudut untuk tetamu menikmati pemandangan hijau kawasan sekitar, ia sebenarnya bertindak sebagai penghadang privasi.
“Ia menghalang ruang kolam mandi daripada dilihat oleh penyewa di unit sebelah, Telaga House I,” jelas Rosita yang berkolaborasi dengan jiran belakang rumahnya, Noor Aziezah Hasan bagi mengusahakan rangkaian inap desa ini.
Melangkah ke bahagian dalam, konsep minimalis diteruskan dengan sentuhan ‘Modern Contemporary Classic’.
Ruang tamu dihiasi dengan sofa besar dan kerusi wingback jenis ‘tufted’ yang memberikan aura mewah.
Penggunaan karpet bercorak lembut dan ‘cove lighting’ pada siling menambahkan lagi kehangatan suasana.
Di ruang makan pula, sebuah meja oval putih susu dengan lapan tempat duduk menjadi tumpuan.
Sentuhan lampu chandelier kristal serta hiasan gerbang (arch) pada kabinet sisi seakan-akan membawa terus DNA seni bina Santorini ke dalam rumah.
Setiap inci dekorasi, daripada lukisan abstrak berskala besar hinggalah kepada pemilihan lantai rona kayu di enam bilik tidur, semuanya dirancang teliti bagi memastikan tetamu merasa seolah-olah berada di sebuah villa eksklusif.
Transformasi Telaga House II membuktikan bahawa rumah teres lot tepi mampu berubah wajah secara total dengan pemilihan konsep yang tepat.
Penggunaan warna neutral, pengaliran udara yang baik melalui balkoni terbuka, serta penyelesaian kreatif untuk privasi laman adalah idea boleh dicontohi oleh pemilik rumah lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd



