GENTING GAZA – Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran tentang krisis kesihatan awam di Genting Gaza.
Penduduk Palestin kini berdepan ancaman penyakit kulit yang sedang merebak di kem pelarian sesak di seluruh wilayah itu.
Menerusi kenyataan pada awal minggu lalu, agensi itu menyatakan bahawa jumlah jangkitan berkaitan penyakit kulit telah meningkat tiga kali ganda sejak beberapa bulan lalu.

Timbunan sampah-sarap menjadi antara faktor yang menyebabkan persekitaran di Gaza terdedah kepada pelbagai penyakit. Foto Agensi
Suhu yang semakin meningkat, kesesakan melampau dan ketiadaan sistem sanitasi yang berfungsi dengan baik menyebabkan penularan kudis buta, cacar air dan penyakit berjangkit lain terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.
UNRWA turut memberi amaran bahawa keupayaan penjagaan kesihatan asas di Gaza kian terjejas tanpa bekalan ubat-ubatan yang mencukupi.
Ratusan kanak-kanak di Deir al-Balah di tengah Gaza serta kawasan lain kini menghidap pelbagai penyakit kulit yang serius berpunca daripada tahap kebersihan yang teruk dan keadaan tempat tinggal yang serba daif.

Penduduk Palestin kini berdepan kekurangan kemudahan sanitasi bagi menjalani urusan harian. Foto Agensi
Di Khan Yunis, selatan Gaza, petugas kesihatan sedang bertungkus-lumus menyahjangkit puluhan ribu khemah sebagai usaha memperlahankan penularan jangkitan tersebut.
“Sepanjang tempoh 26 hari, prosedur itu telah dilakukan ke atas lebih 50,000 daripada 200,000 khemah sementara yang menjadi tempat berlindung kebanyakan keluarga,” kata jurucakap majlis perbandaran Khan Yunis, Saeb Lagan.
Namun, bekalan penting yang terhad berisiko mengakibatkan banyak kem mungkin tidak dapat dinyahjangkit dalam masa terdekat.
“Kami berdepan kesukaran untuk mendapatkan bahan yang diperlukan kerana ketiadaan bahan pembasmi kuman di pasaran tempatan,” tambahnya.
Sebelum ini, jurucakap PBB, Stephane Dujarric memberitahu bahawa keadaan kemanusiaan di ‘bandar khemah’ seluruh Gaza terus merosot.
“Penyakit berjangkit dan masalah kulit itu telah menjejaskan hampir 10,000 penduduk Gaza berbanding kira-kira 3,000 yang direkodkan pada Januari lalu. Saya menggesa Israel memberi akses kepada penghantaran bekalan seperti syampu antikutu, losyen dan racun perosak bagi mengelakkan kecemasan kesihatan awam berskala besar,” ujarnya.

‘Bandar khemah’ yang sesak kini menjadi kawasan berisiko tinggi dilanda wabak. Foto Agensi
Pegawai kesihatan di Gaza juga memaklumkan usaha untuk mengawal penularan wabak itu sangat terhad akibat sekatan berterusan oleh Israel.
“Penyakit kulit merebak dengan cepat melalui sentuhan rapat. Situasi ini sukar dikawal berikutan kekurangan ubat-ubatan dan kaedah penjagaan selepas rawatan seperti pemakanan dan pengudaraan yang bersih,” kata Dr Salim Ramadan.
Kebimbangan semakin meningkat dan keadaan dijangka bertambah buruk menjelang musim panas.
Pada tahun lalu, kira-kira 150,000 penduduk Gaza mengalami penyakit kulit yang sebahagian besarnya akibat kekurangan peralatan perubatan susulan perang ganas yang tiada kesudahan. – Agensi



