
Tertuduh mendakwa isterinya tidak menjaga pemakanan sehingga mengalami obesiti selain mengabaikan kebersihan diri. Foto hiasan
NEW DELHI – Seorang lelaki di daerah Kadapa, Andhra Pradesh ditahan polis pada Selasa, selepas didakwa meracun dan membunuh isterinya yang dikatakan mengalami obesiti.
Mangsa dikenali sebagai Badripalli Padmaja, 31, manakala suspek ialah suaminya, Badripalli Kiran Kumar.
Menurut polis, tertuduh mendakwa isterinya tidak menjaga pemakanan sehingga mengalami obesiti selain mengabaikan kebersihan diri.
Dia juga mendakwa mangsa sering keluar rumah memakai pakaian tidur.
Bagaimanapun, siasatan mendapati suspek dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan rakan sekerja wanita.
Apabila mangsa membantah hubungan itu, tertuduh dikatakan berang sebelum merancang untuk membunuh isterinya.

Suspek (belakang ditutup wajah) kini telah ditahan. Foto Agensi
Pada 30 April lalu, suspek didakwa mencari maklumat mengenai racun berbahaya menerusi video dalam talian sebelum membeli bahan tersebut.
Dia kemudian mencampurkan racun itu ke dalam makanan mangsa.
Menurut polis, selepas wanita itu tertidur, suspek menekup muka mangsa menggunakan bantal sehingga meninggal dunia.
Kes terbongkar selepas bapa mangsa, Bangalore Raja Kullayi yang juga seorang doktor membuat laporan polis.
Pada awalnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mencurigakan sebelum siasatan lanjut mengesahkan ia merupakan kes pembunuhan.
Penolong Superintendan Polis Kadapa, Vibu Krishna berkata, laporan bedah siasat menemukan unsur racun dalam tubuh mangsa sebelum suspek ditahan dan direman bagi membantu siasatan. – Agensi



