redzuan.muharam@hmetro.com.my
Shah Alam: Sudah lebih 787 hari lelaki ini menduda selepas kematian isteri tercinta, Allahyarham Nor Hazamiah Lokman yang dijemput Ilahi pada 14 Mac 2024 namun kerinduan terhadap sebelah jiwanya itu tidak pernah padam.
Kasih sayang Azreein Aziz, 50, terhadap isterinya itu tidak pernah berkurang malah semakin menebal dan buktinya, dia setia menziarahi pusara Allahyarham Nor Hazamiah sejak hari pertama mereka berpisah di dunia nyata.
Pusara Allahyarham Nor Hazamiah ibarat ‘rumah kedua’ Azreein kerana biarpun sibuk dengan tugas hakikinya sebagai pengurus akaun, dia tetap akan mencuri masa untuk singgah ke pusara isterinya bagi melepaskan rindu.
Menceritakan kisahnya, Azreein yang menetap di Setia Alam, di sini berkata, isterinya meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah selepas koma selama 55 hari di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
Katanya sejak itu, kehidupannya tidak sama seperti dulu walaupun masih ada tiga anak yang boleh menjadi sandaran untuk menumpang kasih kerana Allahyarham meninggal dunia tanpa pesan.
“Arwah isteri tak ada penyakit kronik namun diserang angin ahmar dengan tiba-tiba kemudian pengsan di sebelah saya ketika kami makan bersama-sama di meja makan. “Sebelum itu, arwah ada beritahu dia nak pitam dan tangannya kebas. Isteri saya kemudian dibawa ambulans ke hospital sebelum koma sehingga ke akhir hayatnya.
“Sepanjang 55 hari koma, saya dengan anak bergilir-gilir menjaganya,” katanya kepada Harian Metro.
Menurut Azreein, doktor bagaimanapun tidak menyarankan isterinya diberi bantuan pernafasan secara tekanan dada kerana dikhuatiri merosakkan organ dan tulang rusuknya.
“Jadi doktor minta izin saya ‘lepaskan.’ Waktu itu saya ikhlaskan hati untuk terima pemergiannya. Arwah isteri menghembuskan nafas terakhir di sebelah saya dan bersyukur kerana dapat uruskan jenazahnya sehingga liang lahad.
“Saya usap pipinya buat kali terakhir sebelum dikebumikan. Pada 500 hari pertama, saya berpeluang ziarah ke pusara arwah isteri setiap hari. Tetapi sekarang, saya menziarah pusara isteri selang sehari atau pada hujung minggu kerana kekangan kerja. Saya bersyukur kerana Allah SWT masih beri rezeki dan kesempatan menjejakkan kaki ke pusara arwah isteri,” katanya.
Mengimbas kenangan dengan Allahyarham isteri, Azreein berkata, terlalu banyak memori dicipta bersama sepanjang 24 tahun perkahwinan mereka.
Katanya, sukar untuk dia melupakan semua kenangan itu kerana Allahyarham isteri bukan hanya teman hidup malah cinta sejatinya.
“Kami berkenalan pada 1994 selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan arwah isteri sebenarnya ‘high school sweetheart’ saya .
“Saya bukan orang senang, cuma seorang lelaki biasa tapi dia terima saya malah sanggup tidur bersama di atas lantai waktu tahun pertama perkahwinan.
“Selepas berkahwin, saya tak mampu bawa arwah isteri pergi berbulan madu… tapi diizinkan Allah SWT untuk ada kemampuan bawa isteri berbulan madu ke Istanbul, Turkiye selepas 16 tahun berumah tangga.
“Itu pun selepas saya kumpul duit dan bawa isteri ke situ (Turkiye) kerana dia suka tengok cerita dari sana. Itulah bulan madu pertama dan terakhir kami,” katanya. Sehingga kini, Azreein mengakui isterinya masih ada bersamanya walaupun jasadnya tiada.
Berhuhung kisahnya yang tular di media sosial, Azreein berkata, tiada apa istimewa padanya kerana dia juga sama seperti individu lain yang kerap menziarahi pusara insan tersayang.
“Cuma mungkin kisah saya tular saja dan niat saya kongsikan di Threads sebelum ini pun sekadar nak orang tahu, ziarah kubur ini mampu hidupkan jiwa kita yang sudah lama mati.
“Sejak kerap ziarah kubur isteri, saya jadi lebih dekat dengan al-Quran hingga bacaan lancar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



