Pengguna berdepan peningkatan harga barangan dan tekanan inflasi selepas Jun

Pengguna berdepan peningkatan harga barangan dan tekanan inflasi selepas Jun

saufi@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pengguna dijangka berdepan peningkatan harga barangan dan tekanan inflasi susulan krisis tenaga global yang masih berlarutan khususnya membabitkan konflik di Asia Barat dan ketidakstabilan bekalan minyak dunia.

Pakar ekonomi, Universiti Kuala Lumpur Business School (UniKL), Prof Madya Mejar Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata, lonjakan harga dijangka berlaku selepas Jun namun peningkatan itu tidak dijangka berlaku secara mendadak kerana kerajaan sudah mengambil beberapa langkah mitigasi untuk mengekang kesan terhadap pengguna.

Menurutnya, kerajaan mengambil pendekatan mengurangkan belanjawan persekutuan bagi membolehkan hasil fiskal digunakan untuk membantu industri tertentu melalui subsidi supaya harga produk tidak melonjak.

Bagaimanapun, katanya, bantuan itu tidak mampu menampung keseluruhan kesan kenaikan kos yang sedang dihadapi pelbagai sektor industri.

“Antara cabaran utama termasuk kesukaran mendapatkan bahan mentah, kekangan logistik, peningkatan kos pengangkutan dan tekanan kewangan dalam kalangan pengilang.

“Sektor pertanian antara yang paling terkesan apabila ramai petani berdepan kesukaran meneruskan operasi kerana kenaikan harga diesel.

“Walaupun kerajaan memperkenalkan sistem ‘Fleet Card’ bagi pembelian diesel subsidi, masih terdapat golongan industri yang tidak menikmati manfaat berkenaan sehingga mengakibatkan harga produk tertentu berpotensi meningkat secara kritikal,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa inflasi yang tidak terkawal boleh memberi kesan rantaian kepada rakyat apabila tekanan kos sara hidup semakin meningkat dan pertumbuhan ekonomi negara menjadi tidak optimum.

Mengulas langkah persediaan pengguna, Mohd Harridon menasihatkan orang ramai supaya lebih bijak mengurus perbelanjaan dan memantau harga barangan di pasaran.

“Pengguna juga digalakkan membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati harga sesuatu produk dijual melebihi kadar munasabah.

“Pengguna perlu mengamalkan perbelanjaan secara berstruktur dan mengelakkan pembelian berlebihan supaya kewangan keluarga kekal stabil sepanjang bulan.

“Saya menjangkakan ketegangan di Selat Hormuz akan terus memberi tekanan kepada pasaran minyak global sekali gus mengekalkan harga minyak pada paras tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat memperhebat penggunaan sumber tenaga alternatif bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap konflik luar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top