INDRAMAYU – Sekumpulan penunjuk perasaan mencetuskan kekecohan selepas melemparkan sejumlah ular ke arah pekarangan pejabat Bupati Indramayu, di Jawa Barat, ketika mengadakan demonstrasi pada Khamis.
Tindakan itu dilakukan oleh kumpulan massa Aliansi Topi Jerami selepas mereka mendakwa gagal menemui Bupati Indramayu, Lucky Hakim.
Koordinator penunjuk perasaan, Rakhmat Hidayat berkata, perbuatan melempar ular itu merupakan simbol kekecewaan terhadap pentadbiran daerah yang didakwa terlalu menumpukan tindakan bersifat simbolik, namun belum menyelesaikan masalah asas rakyat.
“Simbol lempar ular ini menjadi bentuk kritik kami terhadap dasar yang terkesan simbolik.
“Masyarakat memerlukan penyelesaian yang benar-benar dapat dirasai kesannya,” katanya pada Jumaat.
Dalam demonstrasi itu, kumpulan berkenaan membangkitkan beberapa isu yang menjadi keluhan penduduk, termasuk masalah sampah, pendidikan dan keadaan ekonomi masyarakat.
Rakhmat mendakwa kadar pengangguran dan kemiskinan di Indramayu masih tinggi, sekali gus memerlukan perhatian serius daripada kerajaan daerah.
Isu sampah turut menjadi antara perkara utama yang disuarakan.
Menurutnya, longgokan sampah di beberapa lokasi semakin membukit kerana tidak diangkut, walaupun dibuang penduduk di Tempat Pembuangan Sementara (TPS) dan bukan secara sembarangan.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan sampah menimbun dan mengeluarkan bau busuk.
Kumpulan Topi Jerami turut mempersoalkan beberapa program kerajaan daerah yang dinyatakan dalam Laporan Keterangan Pertanggungjawaban (LKPJ), yang didakwa tidak sepenuhnya mencerminkan realiti di lapangan.
“Kami menuntut Bupati Indramayu membuka secara telus semua dasar dan program kerja yang selama ini didakwa berjaya serta mempertanggungjawabkan secara jujur pencapaian yang sebenarnya tidak dirasai masyarakat,” katanya.
Walaupun demonstrasi itu diwarnai insiden pelemparan ular, polis memaklumkan keadaan kekal terkawal sehingga peserta bersurai.
Ketua Seksyen Perhubungan Awam Polis Indramayu, AKP Tarno berkata, anggota keselamatan turut menggunakan pembesar suara untuk mengingatkan peserta supaya menyampaikan aspirasi secara tertib dan tidak mengganggu ketenteraman awam.
“Alhamdulillah, demonstrasi berjalan kondusif,” katanya.
Tarno berkata, ular yang dilemparkan peserta segera ditangkap petugas gabungan di lokasi kejadian.
Menurutnya, ular terbabit bukan daripada jenis berbahaya, sebaliknya merupakan ular sawah.-Agensi



