Hubungan Malaysia-Rusia terus berkembang secara konsisten – Sultan Ibrahim

Hubungan Malaysia-Rusia terus berkembang secara konsisten – Sultan Ibrahim

Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah tahun hadapan menandakan detik penting dalam hubungan Malaysia dan Persekutuan Rusia dengan sambutan Ulang Tahun Ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda bertitah sejak 1967, kerjasama antara kedua-dua negara terus berkembang secara konsisten, sekali gus membentuk hubungan yang kukuh dan produktif.

Sultan Ibrahim bertitah pertemuan bersama Presiden Rusia Vladimir Putin di St Petersburg pada awal Januari lepas berlangsung dalam suasana konstruktif dan membuahkan hasil positif apabila kedua-dua pemimpin berkongsi aspirasi sama untuk mempertingkatkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.

“Perjalanan panjang yang ditempuhi bersama serta pencapaian signifikan dalam hubungan Malaysia-Persekutuan Rusia wajar diraikan menerusi sambutan yang bermakna dan bersejarah,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika mengadakan pertemuan empat mata bersama Putin di Kremlin, Moscow, hari ini.

Terdahulu, keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda ke Kremlin disambut mesra oleh Putin.

Seri Paduka Baginda turut berkenan membalas jemputan dan penghormatan yang diberikan Persekutuan Rusia dengan menjemput Putin mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia pada 2027 sempena sambutan Jubli Intan hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Sultan Ibrahim yakin lawatan berkenaan akan menjadi pemangkin baharu kepada pengukuhan kerjasama strategik yang telah dibina selama enam dekad antara Malaysia dan Persekutuan Rusia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top