am@hmetro.com.my
Maran: “Dia tak pesan apa-apa, cuma ada cakap mahu nikah sebelum Raya Haji…”.
Itu luahan sayu Kartina Mat Nawi, 55, ibu kepada Mohamad Arif Danial Ramli, 23, yang maut dalam kemalangan selepas kereta dipandunya terbabas lalu merempuh tiang elektrik di Jalan Besar Jengka 12, di sini, malam kelmarin.
Kartina berkata, kali terakhir dia bertemu arwah adalah kira-kira jam 8.30 malam ketika mereka sekeluarga makan bersama termasuk kakak arwah.
Menurutnya, selepas makan kira-kira jam 9 malam, arwah keluar rumah tanpa memberitahu ke mana hala tuju.
“Keadaan dia sihat seperti biasa. Malam itu dia makan laksa, saya pula makan nasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kartina berkata, arwah dipercayai keluar untuk bertemu rakan baiknya.
“Arwah sudah bertunang September tahun lalu dan merancang untuk berkahwin sebelum Raya Haji ini.
“Memang hari Khamis itu sebelum kejadian saya pergi berjumpa keluarga pihak perempuan untuk berbincang tarikh majlis. Pada hari tersebut arwah tidak ikut bersama,” katanya.
Tambahnya, Mohamad Arif Danial seorang yang mudah membantu sesiapa sahaja yang memerlukan pertolongan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 10 malam ketika Perodua Axia dipandu mangsa dalam perjalanan dari arah Jengka 13 menghala ke Bandar Pusat Jengka.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik.
“Akibat pelanggaran itu, pemandu dan penumpang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa yang maut adalah Mohamad Ali Mohamed Saat, 31.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




