Kuala Lumpur: Industri perfileman negara terus melakar pencapaian membanggakan apabila filem inspirasi kisah benar, Last Dive bakal ditayangkan dalam sesi Tayangan Pasaran Perdana sempena Festival Filem Cannes di Perancis pada 14 Mei ini.
Filem bergenre doku-drama itu mengetengahkan mesej pemuliharaan lautan dan kelestarian alam sekitar menerusi jalan cerita yang menyentuh emosi.
Lebih membanggakan, Penerbit Eksekutif filem itu, Datin Wendy Wong turut menerima penghormatan apabila dijemput sebagai panelis sesi perbincangan anjuran World Women Foundation.
Mengangkat tema Behind the Camera, Beyond the Screen: Women Creating Change, Wendy akan berkongsi pandangan bersama pengarah dan pelakon dari Amerika Syarikat, Maria Soccor, usahawan serta pembikin filem India, Rupa Dash, jurulatih pemerkasaan wanita global, Aliia Roza dan personaliti media, Keni Silva.
“Saya amat berbesar hati dapat mewakili Malaysia dalam membincangkan peranan penerbit filem yang semakin berkembang dalam landskap hiburan masa kini,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, Wendy bersama rakan rapatnya, Datuk Nancie Foo turut dijemput menghadiri acara karpet merah di La Scène des Artistes pada 15 Mei yang bakal menghimpunkan pemimpin budaya global dan tokoh korporat terkemuka dunia.
“Ini adalah pencapaian yang sangat bermakna buat saya. Selepas 18 tahun menghadiri pelbagai festival, ini kali pertama saya menghadiri majlis pembukaan rasmi.
“Terima kasih kepada penganjur atas pengiktirafan dan jemputan ke acara bersejarah ini,” katanya.
Filem Last Dive mengisahkan bekas pemain bola sepak, Faiz yang kehilangan impian selepas terbabit dalam kemalangan langgar lari.
Dia kemudian dipertemukan dengan Amelia, jurulatih selam skuba yang berdedikasi membantu golongan orang kurang upaya (OKU) menikmati pengalaman bawah laut.
Pertemuan mereka membawa kepada pendedahan mengejutkan apabila pengemudi bot mereka, Kamal didapati terbabit dalam kegiatan mencuri karang dan pengeboman ikan, selain mempunyai kaitan dengan kemalangan yang menimpa Faiz.
Keadaan itu memaksa Faiz, Amelia dan pasukan mereka bersatu dalam memperjuangkan keadilan demi melindungi khazanah lautan.
Last Dive menampilkan barisan pelakon seperti Shiqin Kamal, Aniq Durar, Fiffy Azmi, Amerul Affendi dan Sandra Lim, selain penampilan istimewa Datuk Dr Ras Adiba Mohd Radzi serta penyanyi, Fauziah Latiff.
© New Straits Times Press (M) Bhd




