AL CHIBAYISH – Selepas kemarau berpanjangan yang menjadikan kawasan paya purba Iraq ini kering-kontang, kenaikan paras air kini mula menghidupkan semula tanah lembap tersebut, sekali gus menarik kembali penternak kerbau dan nelayan ke kawasan yang sebelum ini ditinggalkan.
Di paya Chibayish di selatan Baghdad, sampan kembali menyusuri laluan air yang sebelum ini gersang manakala kerbau berkubang di kawasan paya yang dipulihkan dan tompokan padang rumput hijau kembali muncul.
“Suatu ketika dahulu, semua ternakan kami mati dan langsung tiada sumber air. Sebelum ini, ramai penduduk terpaksa berpindah akibat kemarau. Tetapi, keadaan sudah mula berubah dan pulih pada tahun ini,” kata penternak kerbau, Haidar Qassem.

Peratusan kawasan paya yang ditenggelami air meningkat kepada antara 32 hingga 36 peratus.
Wilayah itu mengalami perubahan drastik selepas hujan lebat musim sejuk meningkatkan paras takungan air, membolehkan Kementerian Sumber Air Iraq melepaskan lebih banyak air ke kawasan paya.
Justeru, penduduk masih berharap agar lebih banyak pelepasan air dilakukan.
Pakar tanah paya, Jassim al-Assadi berkata, kawasan Ishan Hallab dipercayai sesetengah pihak sebagai Taman Eden seperti terkandung dalam kitab Bible dan turut diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2016, bagaimanapun telah kering sepenuhnya antara tahun 2021 hingga 2025.
Al-Assadi memberitahu peratusan kawasan paya yang ditenggelami air meningkat kepada antara 32 hingga 36 peratus berbanding kira-kira lapan peratus sepanjang lima tahun lalu.
Paras air lebih tinggi juga menyokong pemulihan beransur-ansur biodiversiti termasuk populasi ikan, tumbuhan dan buluh kembali subur yang digunakan penduduk untuk membina rumah tradisional.

Kawasan paya itu telah didiami selama ribuan tahun oleh masyarakat Arab Paya yang kehidupan dan tradisi mereka sangat berkait rapat dengan air.
Kawasan paya itu telah didiami selama ribuan tahun oleh komuniti Arab Paya yang kehidupan dan tradisi mereka sangat berkait rapat dengan air.
Sementara itu, pegawai sumber air, Mazin Wadai memaklumkan pengurusan air yang lebih baik dan hujan bermusim yang lebih konsisten telah meningkatkan simpanan empangan serta aliran Sungai Tigris dan Furat, sekali gus membolehkan lebih banyak air sampai ke kawasan paya.
Difahamkan, simpanan strategik Iraq meningkat kira-kira enam bilion meter padu tahun ini, memberi pihak berkuasa lebih fleksibiliti untuk mengurus bekalan semasa musim panas.
Paya Iraq yang suatu ketika dahulu meliputi lebih 9,500 kilometer persegi telah dikeringkan pada 1990-an oleh pemerintah diktator, Saddam Hussein setelah pentadbirannya menuduh masyarakat Arab Paya mengkhianati negara semasa perang Iran-Iraq (1980–1988) dalam usaha membanteras kumpulan pemberontak.

Ramai penduduk terpaksa berpindah ke kawasan yang lebih sesuai untuk didiami.
Ramai penduduk melarikan diri, namun selepas kejatuhan Saddam pada 2003, sebahagian kawasan tanah lembap itu dipulihkan hingga membolehkan kira-kira 250,000 masyarakat Arab Paya kembali mendiami kawasan tersebut secara berperingkat.
Bagi penternak kerbau, Raheem Abdul Zahra, perubahan itu telah mengubah kehidupan harian mereka.
“Tanah ini dahulunya tandus, tetapi kini ia kembali bernyawa,” katanya yang tidak lagi bimbang apabila suhu mencecah 50 darjah Celsius pada musim panas akan datang.



