Mixue 'terbang' jurulatih China, perkasakan rantaian sejuk di Malaysia

Mixue 'terbang' jurulatih China, perkasakan rantaian sejuk di Malaysia

Kuala Lumpur : Gergasi minuman mampu milik, Mixue Malaysia, kini beralih ke fasa lebih ‘segar’ apabila melancarkan naik taraf sistem rantaian sejuk (cold chain) secara besar-besaran membabitkan ratusan cawangannya di seluruh Semenanjung Malaysia.

Langkah ini diambil bagi memastikan setiap cawan minuman yang dinikmati pengguna mencapai piawaian ‘Bahan Asli, Rasa Segar, Nikmat Sebenar’ menerusi penggunaan bahan mentah yang dipelihara kualitinya daripada ladang sehingga ke kedai.

Bagi memastikan transformasi ini berjalan lancar, lebih 10 jurulatih profesional dari ibu pejabat MIXUE di China ‘diterbangkan’ khas untuk memberikan bimbingan teknikal secara langsung kepada kira-kira 1,000 francaisi dan pengurus kedai tempatan.

Pengarah MIXUE Malaysia, Teh Hwa Chun berkata, peningkatan kualiti ini membabitkan perubahan drastik dalam penyimpanan ramuan buah-buahan.

“Kami menaiktaraf ramuan daripada penyimpanan suhu bilik kepada sistem rantaian sejuk penuh. Bahan mentah kini dibekukan pantas pada suhu -35°C dan dihantar dalam suhu -18°C bagi menjamin kesegaran,” katanya.

Produk kegemaran ramai seperti ‘Fresh Punched Orange’ dan ‘Taro Grape Tea’ kini menggunakan jus pekat beku yang dihantar melalui rantaian sejuk bagi menggantikan penggunaan jem suhu bilik sebelum ini.

Program latihan intensif yang dijalankan di seluruh negara ini menggunakan model ‘bimbingan, latihan praktikal, penilaian, dan pensijilan’.

Setiap peserta yang tamat latihan akan menerima sijil kelayakan sebagai bukti piawaian operasi yang konsisten di semua cawangan.

Inisiatif ini membuktikan komitmen Mixue dalam menyediakan minuman berkualiti tinggi pada harga yang kekal berpatutan buat rakyat Malaysia.

Selain fokus kepada kualiti produk, Mixue Malaysia terus memperkukuh kehadirannya menerusi pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Antara sumbangan besar yang dilaksanakan termasuklah menerusi sektor pendidikan iaitu menyokong acara sukan dan jualan amal di institusi pengajian tinggi dan sekolah.

Selain kebajikan iaitu bekerjasama dengan Yayasan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (YAATIM), Salvation Army Kuching serta pelbagai rumah kebajikan di Sarawak.

Misi bantuan bencana tidak terkecuali apabila menyumbangkan lebih 4,000 cawan minuman kepada mangsa banjir dan petugas barisan hadapan ketika banjir melanda Utara Malaysia pada 2025.

Dengan pelan pembangunan jangka panjang ini, Mixue Malaysia tekad untuk bukan sekadar menjadi jenama minuman pilihan, malah sebagai entiti korporat yang cakna dengan keperluan komuniti setempat di seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top