mdroji@bh.com.my
Kuching: Kerajaan Sarawak merancang mengambil alih beberapa lagi entiti strategik daripada Kerajaan Persekutuan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh autonomi ekonomi dan kawalan terhadap aset penting negeri.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, langkah itu selari dengan agenda memperluaskan hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau berkata, langkah itu akan dilaksanakan berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Sebab itu dalam tempoh enam tahun lalu, kita mengambil langkah untuk mengukuhkan ekonomi dengan mengambil alih kuasa tenaga Empangan Hidroelektrik Bakun daripada Kerajaan Persekutuan.
“Kita mengambil alih Pelabuhan Bintulu, mewujudkan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS), mewujudkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) mewujudkan syarikat penerbangan AirBorneo serta mengambil ambil alih majoriti ekuiti bank komersial Affin Bank.
“Malah banyak lagi yang kita hendak ambil alih daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Hari Pekerja Peringkat Sarawak 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Kira-kira 3,000 pekerja daripada 34 kesatuan sekerja hadir pada perhimpunan itu.
Abang Johari bagaimanapun tidak menjelaskan lanjut apa entiti strategik baharu yang akan diambil alih itu.
Menurutnya, pengambilalihan serta kewujudan banyak entiti strategik itu akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
Sehubungan itu katanya, anak Sarawak akan diberikan latihan yang betul dengan tumpuan diberikan kepada kursus dalam bidang teknikal.
“Mulai tahun ini kerajaan Sarawak menawarkan 64 program di institusi pengajian tinggi milik Sarawak untuk melahirkan anak Sarawak yang pakar dalam bidang sains, kewangan, undang-undang baharu termasuk undang-undang siber,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan ‘Job Sarawak’ iaitu platform pekerjaan rasmi kerajaan Sarawak untuk membantu rakyat negeri ini mendapatkan peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan padanan kerjaya dengan majikan tempatan.
Inisiatif itu adalah sebahagian usaha memperkukuh pembangunan modal insan dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak Sarawak, khususnya dalam sektor strategik.
© New Straits Times Press (M) Bhd



