Kuala Lumpur: Pelakon Nora Danish mengakui berasa kekok apabila digandingkan buat pertama kali dengan Fattah Amin menerusi telefilem Poskad Cinta Dari Istanbul.
Menurut Nora, kehadiran Amira Othman yang turut terbabit dalam produksi itu membuatkan dirinya lebih berhati-hati sepanjang penggambaran berlangsung.
Katanya, walaupun Amira bersikap profesional dan tidak menunjukkan sebarang rasa kurang senang, dia tetap berasa malu ketika menjayakan babak bersama Fattah.
“Walaupun Amira tidak kisah saya berlakon dengan Fattah, tetapi saya yang segan. Sebenarnya banyak babak membabitkan saya dan Fattah, namun saya malu, sampai nak pandang dia pun rasa segan.
“Mungkin kerana saya menghormati Amira sebagai isteri Fattah dan kebetulan Amira juga ada dalam produksi ini, jadi timbul rasa janggal itu,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan drama Poskad Cinta Dari Istanbul untuk siaran UTV, baru-baru ini.
Menurut Nora, pengalaman berlakon bersama pasangan suami isteri terbabit dalam satu produksi adalah pengalaman pertama buat dirinya.
“Ini kali pertama saya berlakon dengan pasangan suami isteri dalam satu produksi yang sama. Walaupun Amira tidak buat apa-apa, sekadar pandang pun saya sudah malu.
“Inilah cabarannya apabila berlakon dengan suami orang. Orang mungkin tak nampak kesukarannya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Nora berkata, Fattah antara pelakon lelaki yang sudah lama ingin digandingkan bersama sebelum memperlahankan kerjaya lakonannya.
“Saya tak pernah berlakon dengan Fattah sebelum ini, jadi memang teruja apabila ditawarkan untuk karya ini.
“Saya rasa seperti sudah berada dalam fasa untuk bersara perlahan-lahan, jadi saya mahu kumpul hero-hero yang saya teringin bekerjasama sebelum mengakhiri perjalanan dalam bidang lakonan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




