Usia 14 tahun dah boleh jadi ahli KWSP

Usia 14 tahun dah boleh jadi ahli KWSP

kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan bahawa individu seawal usia 14 tahun dibenarkan menjadi ahli selaras dengan peruntukan di bawah Akta KWSP 1991.

Usaha itu dilihat sebagai langkah awal golongan muda memulakan simpanan lebih awal secara sukarela.

KWSP dalam kenyataan kepada Bisnes Metro berkata, pembudayaan tabiat menabung sejak usia muda dilihat sebagai pemacu penting dalam memperkukuh kedudukan kewangan rakyat, sekali gus menyokong agenda celik kewangan negara dalam jangka panjang.

Katanya, langkah mudah seperti menyimpan duit khususnya yang diterima pada musim perayaan boleh menjadi asas awal kepada pembentukan disiplin kewangan, walaupun golongan remaja bukan sasaran utama institusi itu.

“Usaha ini dilihat signifikan dalam konteks jangka panjang kerana simpanan awal memberi kelebihan dari segi tempoh pertumbuhan melalui kesan penggandaan dividen,” katanya.

KWSP berkata demikian bagi memberi maklum balas mengenai trend segelintir ibu bapa yang menyimpan hasil tabungan dan duit sumbangan yang diterima anak-anak pada musim perayaan ke akaun pelaburan KWSP.

Menurut KWSP, pihaknya turut memperkukuh program literasi kewangan menerusi libat urus di sekolah dan universiti.

Sepanjang 2025, lebih 20,000 pelajar universiti sudah diberi pendedahan mengenai kepentingan perancangan kewangan dan persaraan.

Mengulas mengenai akaun remaja, KWSP menjelaskan semua akaun diuruskan mengikut peraturan sedia ada, manakala ibu bapa atau penjaga berperanan sebagai pembimbing dalam menggalakkan amalan menabung secara konsisten serta menetapkan matlamat simpanan.

Dari sudut pulangan, KWSP berkata, strategi pelaburannya berteraskan jangka panjang dengan kadar dividen yang kompetitif, bergantung kepada prestasi pelaburan serta keadaan ekonomi global.

“Bagi golongan muda, kelebihan utama ialah masa kerana caruman yang dibuat lebih awal berpotensi berkembang dengan lebih baik melalui kesan penggandaan dividen,” katanya.

Keyakinan terhadap platform simpanan itu turut ditunjukkan melalui peningkatan ketara dalam program i-Saraan apabila bilangan penerima insentif padanan kerajaan meningkat 35.9 peratus kepada lebih 720,000 orang pada 2025, manakala jumlah caruman melonjak 50.8 peratus kepada RM4 bilion.

Program i-Saraan yang menyasarkan pekerja sendiri dan sektor tidak formal menawarkan insentif padanan kerajaan sehingga 20 peratus itu tertakluk kepada syarat kelayakan termasuk warganegara Malaysia dan berumur bawah 60 tahun.

KWSP berkata, secara keseluruhan simpanan awal bukan sahaja membantu membina dana persaraan, malah menyokong keperluan kewangan lain sepanjang kitaran hidup termasuk pendidikan, pelaburan dan pemilikan rumah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top