am@hmetro.com.my
Kulim: Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah ini yang menempatkan 33 mangsa daripada 10 keluarga dari dua kampung di daerah ini susulan banjir kilat, malam tadi.
PPS terbabit dibuka di Masjid Al Muhtadin Sungai Seluang, Lunas yang menempatkan mangsa dari Kampung Sungai Seluang Bawah dan Kampung Batu 7.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, air naik susulan hujan lebat berterusan selama satu jam sejak 5 petang semalam yang mengakibatkan limpahan air sungai ke kawasan rendah.
Beliau berkata, kebanyakan mangsa berpindah sendiri ke PPS terbabit sejak 10.45 malam tadi kerana tiada tempat tidur.
“Air masih bergenang di dalam rumah dan penduduk tiada tempat tidur walaupun trend air mulai menurun dan tiada hujan.
“Daripada jumlah itu, mangsa yang tinggal di PPS berkenaan terdiri daripada 13 orang lelaki dewasa, sembilan wanita, 10 kanak-kanak, seorang bayi perempuan, tujuh warga emas dan seorang wanita orang kurang upaya (OKU), ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




