am@hmtero.com.my
Kuala Lumpur : Pemain saksofon terkenal dunia juga pemenang Anugerah Grammy, Kenny G, kembali ke Malaysia sempenan King of Saxophone Kenny G 2026 World Tour in Malaysia di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 12 Julai depan.
Bintang muzik jazz dan pemuzik terkenal sepanjang zaman menerusi karya klasik antaranya Songbird, Forever in Love dan Silhouette hingga ke lagu-lagu terbaharunya berjaya memikat pendengar di seluruh dunia selama lebih empat dekad.
Mencatat jualan melebihi 75 juta album studio di seluruh dunia, Kenny G adalah antara pemuzik instrumental paling laris dalam sejarah muzik.
Kenny G juga pernah berkolaborasi dengan beberapa artis terkenal antarabangsa antaranya Celine Dion, Andrea Bocelli, Andy Lau, Kanye West, The Weeknd dan terkini, Charlie Puth.
Selain dokumentari Listening to Kenny G (2021), beliau juga memegang rekod dunia bagi note berterusan paling panjang iaitu note E-flat (selama hampir 46 minit).
Apabila Kenny G tampil di pentas dengan melodi menyentuh jiwa, ia mencipta suasana sempurna buat mana-mana pasangan menikmati malam romantik yang penuh kenangan selain diperkaya dengan seni muzik luar biasa.
Peminat boleh menjangkakan pengalaman persembahan secara langsung yang memukau, menampilkan melodi ikonik serta susunan muzik yang menyentuh perasaan, digabungkan dengan produksi pentas yang elegan.
Persembahan anjuran Everbeat Entertainment dengan kerjasama CEOMAN Entertainment ini bakal menggabungkan elemen nostalgia, romantik dan kehebatan muzik bertaraf dunia dalam satu malam yang sukar dilupakan.
Tiket menyaksikan persembahan ini boleh didapati melalui laman web MAISEAT dan rwgenting.com dengan harga RM668 (VIP), RM558 (PS1), RM458 (PS2), RM358 (PS3) dan RM258 (PS4).
Maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti Everbeat Entertainment di Facebook dan @everbeat_entertainment di Instagram.
© New Straits Times Press (M) Bhd




