Iran bebaskan pemenang Hadiah Nobel Keamanan Narges Mohammadi dengan ikat jamin

Iran bebaskan pemenang Hadiah Nobel Keamanan Narges Mohammadi dengan ikat jamin

Istanbul: Pihak berkuasa Iran telah membebaskan pemenang Hadiah Nobel Keamanan Narges Mohammadi dengan ikat jamin susulan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap tahap kesihatannya yang merosot, dan beliau telah dipindahkan ke sebuah hospital di Tehran, menurut yayasannya, lapor Anadolu Ajansi.

“Pemenang Hadiah Nobel Keamanan Narges Mohammadi, selepas 10 hari dimasukkan ke hospital di Zanjan, telah diberikan penggantungan hukuman dengan ikat jamin yang tinggi.

“Pemindahan beliau melalui ambulans telah selesai, dan beliau kini berada di Hospital Pars Tehran untuk dirawat oleh pasukan perubatan beliau sendiri,” kata yayasan itu melalui platform media sosial X.

Kenyataan itu turut memetik peguam beliau, Mostafa Nili, sebagai berkata bahawa Mohammadi telah dibebaskan dari Hospital Zanjan pada Ahad, selepas pihak berkuasa menggantung hukumannya bagi membolehkan rawatan perubatan dijalankan.

“Beliau dipindahkan dengan ambulans ke Hospital Pars di Tehran, dan telah dimasukkan ke wad,” yayasan itu memetik kenyataan Nili.

Suami Mohammadi yang menetap di Paris, Taghi Rahmani turut mengesahkan di X bahawa beliau telah dipindahkan ke Hospital Pars.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top