Ozlynn bantu Azar bukan mahu tunjuk kaya tapi pernah lalui kesusahan

Ozlynn bantu Azar bukan mahu tunjuk kaya tapi pernah lalui kesusahan

Kuala Lumpur: Pelakon Ozlynn Waty tidak dapat menahan sebak apabila berkongsi mengenai kisah sahabat baiknya yang juga pelakon, Azar Azmi yang berdepan ujian kehidupan sebelum ini.

Ozlynn berkata, dia tidak mahu terlalu terbuka kerana bimbang sahabatnya kembali teringat detik sukar yang pernah dilalui, selain hanya mahu mendoakan kebahagiaan buat Azar dan anak-anaknya.

“Saya mahu dia gembira dengan kehidupan bersama anak-anaknya. Saya harapkan yang terbaik untuk dia kerana setiap manusia diuji dengan cara berbeza.

“Saya sendiri pernah melalui fasa sukar bersama Johan suatu ketika dahulu, jadi saya faham bagaimana rasanya hidup dalam kekurangan.

“Sebenarnya saya tidak mahu bercakap mengenai isu ini kerana ia sangat sensitif, bukan sahaja buat saya, tetapi juga Azar. Saya mahu dia tenang dan bahagia dengan kehidupannya sekarang,” katanya.

Ozlynn berkata demikian ketika ditemui pada majlis eksklusif memperkenalkan karya terbaharu arahan Syed Fariz berjudul 5 Bomoh di Kuala Lumpur Tower, di sini, hari ini.

Katanya, apa yang dilalui Azar adalah satu ujian dan dia berada di sisi aktres berkenaan termasuk berhubung menerusi panggilan video.

“Saya pernah melihat dia melalui zaman gembira dan tahu latar belakang kehidupannya. Dia anak yatim piatu dan dibesarkan kakaknya. Jadi apabila melihat keadaannya, saya jadi sebak,” katanya.

Menurut Ozlynn, bantuan yang dihulurkan kepada Azar dilakukan dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan, malah dia menolong sesiapa sahaja yang memerlukan jika berkemampuan.

“Saya bantu bukan untuk menunjuk kaya atau apa-apa, tetapi kerana saya pernah melalui kesusahan. Sebagai hamba Allah, saya rasa menjadi tanggungjawab untuk membantu sesiapa yang memerlukan.

“Demi Allah, kalau saya ada rezeki lebih, saya akan bantu. Bukan hanya sebab dia Azar walaupun dia sahabat saya. Sesiapa sahaja, jika saya mampu, saya akan kongsi rezeki,” katanya.

Katanya, hubungan rapat mereka terjalin kerana berkongsi pengurus sama, justeru dia mahu menjaga maruah serta aib sahabatnya itu.

“Saya perlu menjaga harga diri seorang sahabat, aib dan maruahnya kerana saya sendiri tidak suka orang bercerita mengenai saya. Kalau dia sendiri berkongsi cerita, itu hak dia. Saya tidak mahu kata-kata saya memberi kesan buruk.

“Kami kembali berhubung selepas saya membaca kisah mengenai dirinya. Pernah satu ketika dia terus hilang tanpa khabar, sehinggalah suatu hari dia menghubungi saya.

“Pada awalnya saya tidak menjawab kerana nombor tidak dikenali, namun dia menghantar WhatsApp memperkenalkan diri lalu saya terus menghubunginya semula dan sejak itu kami mula berkongsi cerita,” katanya.

Sebelum ini, menerusi program audio siar, Azar mendedahkan Ozlynn banyak membantunya daripada segi kewangan dan emosi ketika melalui fasa sukar dalam kehidupan.

Azar atau nama sebenarnya Siti Azar Ameerah Azmi, 37, berkata Ozlynn adalah antara individu terawal yang mengetahui keadaan sebenar dirinya sebelum dia berdepan detik sukar bersama pihak berkuasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top