London: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola percaya Omar Marmoush mampu memainkan peranan penting dalam misi pasukannya memburu tiga trofi domestik musim ini.
City yang sudah memenangi Piala Liga Inggeris (EFL) pada Mac lalu bakal berdepan Chelsea di Wembley dalam final Piala FA, Sabtu ini.
Sebelum itu, City akan menerima kunjungan Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), ketika Arsenal semakin hampir menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 22 tahun.
Kemenangan Arsenal ke atas West Ham United Ahad lalu menyaksikan The Gunners kini mendahului lima mata dengan baki dua perlawanan, namun City masih memiliki satu perlawanan dalam tangan.
Superkomputer Opta memberikan City peluang 12.5 peratus untuk menjulang trofi EPL bulan ini, manakala Arsenal menjadi pilihan utama dengan 87.5 peratus.
City kembali menemui rentak apabila menewaskan Brentford 3-0 menerusi jaringan Jeremy Doku, Erling Haaland dan Marmoush.
Marmoush muncul pemain gantian kedua City yang berjaya menjaringkan gol dalam EPL musim ini, manakala kesemua sembilan gol liganya bersama City hadir di Stadium Etihad.
Guardiola turut memberi bayangan bakal melakukan penggiliran pemain ketika menentang Palace dengan Marmoush dijangka mendapat peluang beraksi.
“Kami sudah banyak berbincang. Saya tahu ia bukan mudah buat mereka, tetapi saya yakin mereka akan bermain dalam beberapa perlawanan terakhir ini.
“Saya mahu membuat penggiliran dalam pasukan kerana jika tidak, kami tidak akan cukup segar untuk final atau aksi menentang Bournemouth nanti.
“Terutama Omar. Ia bukan mudah kerana biasanya anda hanya perlukan seorang penyerang dan kami ada Erling.
“Erling sangat penting buat kami, tetapi sumbangan Omar dari segi jumlah gol berdasarkan minit permainan cukup tinggi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




