JDT perlu kerah keringat buru kemenangan ke atas Buriram United

JDT perlu kerah keringat buru kemenangan ke atas Buriram United

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Tiada jalan pintas buat Johor Darul Ta’zim (JDT), sebaliknya perlu memerah segala keringat bagi memburu kemenangan ke atas Buriram United dalam aksi separuh akhir kedua timbal balik Kejuaraan Kelab Asean (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Chang Arena, Buriram, Thailand, malam esok.

Pengendali JDT, Xisco Munoz menuntut barisan pemain untuk memperaga aksi terbaik bagi mengubah kedudukan 1-3 yang memihak skuad kendalian Mark Jackson selepas melakar kemenangan dalam aksi separuh akhir pertama..

Beliau mengakui kekalahan yang dialami di Stadium Sultan Ibrahim, 6 Mei lalu amat perit ditelan namun optimis pemainnya bakal turun dengan aksi `lebih matang’ apabila berdepan skuad yang bergelar Thunder Castle.

“Kita akan memilih kesebelasan terbaik bagi menghadapi perlawanan getir itu nanti dan ia aksi wajib menang jika mahu mengintai slot ke pentas final.

“Tidak dinafikan Buriram United memiliki pemain yang mampu menyerap tekanan dan untuk mengimbangi corak permainan mereka maka kita harus mengawal permainan malah tampil lebih agresif dan ambil kesempatan yang pantas jika ada ruang mencipta jaringan,” katanya.

Jelas pengendali kelahiran Sepanyol itu, dalam aksi separuh pertama, penguasaan permainan nyata milik JDT dari minit pertama sehingga tamat perlawanan tapi masih cukup untuk menterjemahkan dengan kemenangan dan fokus utama kini adalah mengelak daripada dibolosi.

Ditanya sama ada kelibat penyerang prolifik Harimau Selatan, Bergson da Silva bakal menjadi taruhan untuk merobek gawang Buriram United, Munoz tampak mengambil pendekatan enggan mendedahkan perancangan kesebelasan utama yang bakal diturunkan.

“Kita tahu Bergson ketika ini penjaring terbanyak dalam skuad JDT dengan 27 gol dan apa yang perlu saya fikirkan lebih terarah memilih barisan terbaik untuk aksi nanti kerana kita hanya boleh daftar tujuh pemain import beraksi di padang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top