Azar terharu sokongan ramai termasuk netizen

Azar terharu sokongan ramai termasuk netizen

Azar terharu sokongan ramai termasuk netizen

Norhayati Nordin

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Foto Fail

Kuala Lumpur: Sokongan diterima daripada banyak pihak selain keluarga, kenalan artis dan netizen di media sosial membuatkan pelakon Azar Azmi, 37, terharu dan meluahkan rasa kesyukuran.

Meninjau pada ruangan komen di media sosialnya, Azar atau nama sebenar Siti Azar Ameerah Azmi didapati bersikap mesra, positif dan terbuka membalas komen ditinggalkan pengikut di Instagram (IG).

“Minta maaf banyak-banyak. Rindu semua. Terima kasih doakan saya. Semoga yang baik-baik berbalik pada kita semua.

“Tuhan sahaja dapat balas jasa semua. Nak ‘hug’ (peluk),” tulis Azar berdasarkan rangkuman komen yang ditulis kepada pengguna media sosial dikenali dan mengikutinya.

Baru-baru ini, Azar juga berkesempatan bertemu sahabat baiknya iaitu pelakon Janna Nick, 31, yang pulang ke ibu negara untuk berjumpa serta menunaikan janji di antara mereka sekali gus mengubat rindu.

Rentetan itu, Janna atau nama sebenar Nurul Jannah Muner turut menitip pesan kepada Azar yang juga ibu dua cahaya mata lelaki berusia empat tahun dan tiga tahun agar tidak menghilang lagi dalam industri.

Azar yang terharu dengan pesanan dan sikap ambil berat Janna terhadap dirinya memaklumkan cuba berpegang pada janji untuk tidak menghilang, selain terus kuat mengharungi dugaan kehidupan bersama anak-anak.

“Tak tahu nak cakap apa. Awak (Janna) sangat bermakna untuk saya. Kita berborak cerita lapan, sembilan tahun lepas, tetapi semua itu masih segar dalam ingatan kita.

“Kepada sahabatku yang manis Janna, terima kasih untuk segala-galanya. Menempuh perjalanan beribu batu untuk menjayakan perkara ini. Tak tahu nak cakap apa lagi,” katanya.

Sebelum ini, Azar hilang agak lama dari industri hiburan selepas mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, pada 2021.

Namun, pada Mac lalu Azar kembali menjadi perhatian ramai di media sosial selepas dia dan suami direman bagi membantu siasatan kes penipuan jualan tanah kurnia serta darjah kebesaran.

Sejurus dibebaskan, Azar mendapat bantuan daripada dua usahawan kosmetik popular iaitu Datuk Seri Aliff Syukri dan Datuk Seri Vida (DSV) menerusi sesi siaran langsung jualan produk di TikTok mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top