45 juta penduduk seluruh dunia di ambang kebuluran

45 juta penduduk seluruh dunia di ambang kebuluran
45 juta penduduk seluruh dunia di ambang kebuluran

Kira-kira satu pertiga daripada bekalan baja dunia melalui Selat Hormuz.

PARIS – Puluhan juta penduduk di seluruh dunia berisiko menghadapi krisis kebuluran dan kekurangan makanan jika bekalan baja masih tidak dibenarkan melalui Selat Hormuz.

Amaran itu diberikan Pengarah Eksekutif Pejabat PBB untuk Perkhidmatan Projek (UNOPS), Jorge Moreira da Silva pada Isnin ketika banyak pihak hanya memfokuskan isu bekalan minyak yang berdepan sekatan di laluan strategik tersebut.

“Kita hanya mempunyai tempoh beberapa minggu lagi untuk menghalang krisis kemanusiaan yang dahsyat. Jika masalah itu berlarutan, kita bakal saksikan 45 juta penduduk berada di ambang kebuluran,” ujarnya.

Difahamkan, pasukan petugas di bawah UNOPS itu ditubuhkan pada Mac lalu untuk mewujudkan mekanisme bagi membolehkan baja serta bahan mentah berkaitan seperti ammonia, sulfur dan urea melalui selat tersebut.

Selama beberapa minggu, Moreira da Silva telah berusaha meyakinkan pihak yang terlibat dalam konflik supaya membenarkan beberapa kapal melalui Hormuz selain mengadakan pertemuan dengan lebih 100 negara bagi mendapatkan sokongan terhadap mekanisme tersebut.

“Krisis lebih besar terhadap petani dapat dielakkan jika lima kapal baja dan bahan mentah secara purata dibenarkan melalui Hormuz pada setiap hari,” jelasnya.

Walaupun harga makanan belum melonjak secara drastik, beliau berkata kos baja telah meningkat dengan ketara yang berpotensi menjejaskan produktiviti pertanian, sekali gus menaikkan harga makanan.

PBB telah memberi amaran bahawa sekatan berterusan itu mengancam keselamatan makanan dunia khususnya di negara-negara Afrika dan Asia. – AFP

Scroll to Top