suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Subang Jaya: Mayat seorang lelaki tidak dikenali ditemui di tebing sungai Bandar Sunway, di sini, semalam, dengan ukiran tatu khas bertulis ‘King’ serta imej mahkota di lengan kanan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian itu dikesan kira-kira jam 2.43 petang selepas pihaknya menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan penemuan mayat di lokasi terbabit.
“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati mayat tersebut ditemui dalam keadaan hanya memakai seluar pendek warna hitam dan tidak berbaju.
“Mangsa memakai gelang di lengan kanan dan terdapat ukiran tatu bertulis ‘King’
serta gambar mahkota di bawah pelipat lengan kanan,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia sejak beberapa hari berdasarkan keadaan
fizikalnya.
Katanya, identiti serta bangsa mangsa belum dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan fizikal juga tidak dapat dijalankan di tempat kejadian berikutan keadaan mayat yang tidak sempurna.
“Jasad mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan identiti,” katanya.
Wan Azlan berkata,kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) kerana tiada unsur jenayah dikenal pasti pada jasad mangsa.
“Cebisan daging serta tulang mangsa telah diambil bertujuan semakan DNA (asid deoksiribonukleik) mangsa,” katanya.
Dalam pads itu, beliau berkata, pihaknya menyeru kepada orang ramai yang mempunyai maklumat
berhubung kejadian ini atau kehilangan ahli keluarga agar tampil menghubungi Balai Polis Bandar Sunway di talian 03-5621 2222 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




