117 pemangsa kanak-kanak ditahan

117 pemangsa kanak-kanak ditahan

saufi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 1.47 juta fail digital ditemui yang mengandungi antara lain bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM) menerusi empat operasi utama yang dilaksanakan antara 2024 hingga tahun ini.

Operasi itu dilaksanakan bagi membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan agensi berkaitan.

Untuk rekod, statistik menerusi Op Pedo 1.0, Operation Cyber Guardian 2025, Op Pedo 2.0 dan Operation Cyber Guardian 2026 turut menyaksikan seramai 117 individu ditahan membabitkan 162 lokasi serbuan serta rampasan 272 peranti digital.

Lebih membimbangkan, Operation Cyber Guardian 2026 saja merekodkan hampir 500,000 fail digital dirampas termasuk sekurang-kurangnya 204,934 bahan penderaan seksual kanak-kanak yang disahkan.

Operasi itu turut membabitkan kerjasama rentas sempadan antara Malaysia bersama beberapa negara lain termasuk Singapura, Thailand, Brunei, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.

Peningkatan kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian di negara ini berada pada tahap membimbangkan apabila statistik operasi penguatkuasaan menunjukkan lonjakan ketara dalam tempoh hanya dua tahun.

Situasi itu memperlihatkan bagaimana jenayah seksual terhadap kanak-kanak kini semakin aktif bergerak melalui medium digital seperti media sosial, aplikasi sembang, permainan dalam talian dan platform perkongsian fail.

Trend peningkatan itu dapat dilihat menerusi pertambahan jumlah tangkapan dan serbuan bagi setiap operasi.

Menerusi Op Pedo 1.0 pada 2024 merekodkan hanya 13 tangkapan, angka itu meningkat kepada 31 tangkapan menerusi Op Pedo 2.0 sebelum melonjak kepada 69 tangkapan dalam Operation Cyber Guardian 2026.

Perkembangan itu membuktikan bahawa pemangsa seksual kini semakin agresif menggunakan teknologi digital untuk mendekati dan memanipulasi mangsa, khususnya kanak-kanak yang mudah terdedah akibat kurang kawalan dan kesedaran keselamatan siber.

Ia sekali gus memerlukan satu sistem pengesahan identiti untuk melindungi mangsa serta golongan rentan yang terdedah dengan ancaman di ruang siber.

Profesor Undang-Undang dalam Teknologi Maklumat, Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Nazura Abdul Manap berkata, perkembangan itu menunjukkan keperluan mendesak untuk platform digital memperketatkan mekanisme pengesahan identiti dan umur pengguna, termasuk pelaksanaan sistem pengesahan identiti digital atau eKYC.

Menurutnya, pelaksanaan sistem pengesahan eKYC dilihat sebagai keperluan penting dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada jenayah seksual dan eksploitasi dalam talian.

“Menerusi konteks ini, eKYC bukan lagi sekadar teknologi pengesahan identiti, tetapi dilihat sebagai benteng awal untuk memastikan ruang digital lebih selamat.

“Saya melihat bahawa pelaksanaan eKYC wajar dilaksanakan, khususnya bagi mengesahkan umur sebenar pengguna media sosial.

“Kanak-kanak diklasifikasikan sebagai golongan rentan sekali gus mereka wajar dilindungi sama ada oleh ibu bapa, undang-undang serta platform digital itu sendiri,” katanya.

Nazura berkata, ramai kanak-kanak ketika ini boleh membuka akaun media sosial tanpa sebarang pengesahan identiti yang tepat, sekali gus mengakibatkan mereka mudah terdedah kepada ancaman pengantunan seksual, eksploitasi dan kandungan berbahaya.

Beliau berkata, menerusi sistem eKYC, platform media sosial dapat mengesahkan identiti dan umur pengguna secara lebih tepat, selain membantu mengehadkan akses kepada kandungan tertentu mengikut kategori umur.

“Ia turut memudahkan pihak berkuasa mengenal pasti individu yang terbabit dalam jenayah siber terhadap kanak-kanak.

“Kepentingan eKYC menjadi lebih jelas apabila melihat peningkatan statistik berkaitan operasi membanteras jenayah seksual kanak-kanak dalam talian.

“Statistik terkini adalah bukti bahawa jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak kini bukan lagi isu tempatan, sebaliknya membabitkan rangkaian antarabangsa yang memanfaatkan teknologi digital dan platform media sosial secara meluas,” katanya.

Beliau berkata, penguatkuasaan agresif oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sememangnya penting.

Bagaimanapun, katanya, langkah penguatkuasaan saja tidak mencukupi, ia perlu dilakukan seiring dengan langkah pencegahan awal dan kawalan lebih ketat terhadap platform digital.

“Saya menekankan bahawa ibu bapa memainkan peranan besar dalam mengurangkan risiko anak-anak menjadi mangsa.

“Isu keselamatan kanak-kanak di dunia digital kini memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan teknologi, penguatkuasaan undang-undang, pendidikan digital dan tanggungjawab sosial.

“Dalam landskap ancaman siber yang semakin kompleks, eKYC dilihat mampu menjadi mekanisme penting bagi memastikan internet bukan sahaja lebih terbuka, tetapi juga lebih selamat untuk generasi muda,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top