Belanjawan 2027 penentu Malaysia jadi hab AI Asia Tenggara

Belanjawan 2027 penentu Malaysia jadi hab AI Asia Tenggara

PETALING JAYA: Belanjawan 2027 mampu menjadi titik penentu sama ada Malaysia berjaya muncul sebagai peneraju kecerdasan buatan (AI) di Asia Tenggara, ketika persaingan serantau dalam ekonomi digital semakin sengit.

Pengerusi Chmiel Global Advisory dan Ahli Lembaga World Digital Chamber, Georg Chmiel berkata, negara kini memasuki tempoh kritikal yang bakal menentukan hala tuju dekad akan datang.

“Belanjawan 2027 boleh menjadi titik penentu buat Malaysia.

“Ekonomi AI berkembang dengan sangat pantas dan negara yang bertindak lebih awal akan memperoleh kelebihan jangka panjang dari segi pelaburan, bakat serta kepimpinan industri,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, AI kini sedang mengubah daya saing pelbagai industri, dan sebarang kelewatan dalam aspek kesiapsiagaan tenaga kerja, kerangka pelaburan serta pembangunan infrastruktur digital boleh menyebabkan jurang dengan negara serantau lain terus melebar.

Dalam pada itu, Malaysia kini muncul antara destinasi utama pelaburan AI dan infrastruktur digital di Asia Tenggara.

Menurut laporan e-Conomy SEA 2025 oleh Google, Temasek dan Bain & Company, Malaysia menarik kira-kira AS$759 juta atau 32 peratus daripada keseluruhan pembiayaan AI di Asia Tenggara antara akhir 2024 hingga awal 2025.

Pada masa sama, syarikat teknologi global termasuk Microsoft, Google, Amazon Web Services, Oracle, ByteDance dan rakan ekosistem NVIDIA terus memperluaskan operasi mereka di Malaysia.

Sementara itu, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melaporkan sebanyak RM54.13 bilion pelaburan digital diluluskan pada 2025, yang dijangka mewujudkan lebih 21,800 pekerjaan bernilai tinggi.

Sebelum ini, Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, AI berpotensi menyumbang antara RM13 bilion hingga RM20 bilion setahun kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.

Bagaimanapun, Georg Chmiel berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berisiko tercicir sekiranya tiada sokongan lebih tersusun bagi mempercepat penggunaan AI.

“Banyak PKS masih berada dalam fasa asas transformasi digital, dan penggunaan AI boleh dianggap mahal serta rumit tanpa insentif, latihan dan akses pembiayaan yang sesuai,” katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa bidang utama yang perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan Malaysia mampu berubah daripada pemain baharu AI kepada peneraju serantau.

“Antara bidang berkenaan termasuk pembangunan bakat AI, mempercepat penggunaan AI dalam kalangan PKS, memperkukuh sektor semikonduktor dan teknologi tinggi serta meningkatkan sokongan kepada syarikat pemula niaga tempatan.

“Ia turut merangkumi usaha mewujudkan peraturan jelas berkaitan keselamatan siber dan etika AI, selain memperkukuh kerjasama antara kerajaan, industri dan universiti,” jelasnya. – UTUSAN

Scroll to Top