Amir Raja Lawak tak malu jual barang kitar semula

Amir Raja Lawak tak malu jual barang kitar semula

puterialia@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Meskipun bergelar anak seni, pelawak Amir Raja Lawak membuktikan status sebagai selebriti bukan alasan perlu mencari pendapatan sampingan termasuk mengumpul dan menjual barangan kitar semula.

Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi, 37, menerusi hantaran di Facebook mendedahkan dia tidak kekok atau malu melakukan pekerjaan terbabit demi kelangsungan hidup.

“Cari duit tepi. Jual barang dekat besi buruk, Alhamdulillah dapat RM18,” tulisnya.

Dalam pada itu, Amir turut meluahkan rasa hairan terhadap segelintir individu yang menghubunginya melalui pesanan peribadi untuk meminta sumbangan atas alasan tidak dapat bekerja.

“Yang duk (selalu) ‘inbox’ minta sumbangan nak beli susu anak, suami tak boleh pergi kerja sebab motosikal rosak itu, tak cuba ke kutip tin, kutip kotak atau cari besi untuk jual? Jalan kaki pun boleh, bawa kereta sorong ke.

“Takkanlah malu cari rezeki cara macam ini, tapi tak segan ‘inbox’ orang lain minta sumbangan nak beli susu anak sebab suami tak boleh pergi kerja motor rosak?” tulisnya lagi.

Kata pelakon filem Hantu Air itu lagi, meskipun setiap individu mempunyai ujian hidup yang berbeza, usaha yang gigih harus didahulukan dalam mencari rezeki untuk keluarga.

“Ya betul ‘struggle’ kita tak sama, tapi selagi ada daya, tak salah kan usaha? Saya yang orang kenal ini pun berniaga air jagung tepi jalan juga,” tulisnya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan hantaran Amir dan meminta orang ramai agar sentiasa berusaha untuk mencari rezeki.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top