sukan@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Selepas merangkul Piala Sumbangsih dan trofi Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM), Negeri Sembilan idam kejuaraan treble pada musim ini.
Skuad kendalian Saiful Azli Abd Rahman itu yang berjaya merangkul trofi liga semalam bakal turun ke gelanggang esok pada aksi separuh akhir dalam misi memburu kejuaraan ketiga Piala Vivian May Soars musim ini.
Bagaimanapun skuad itu perlu menanti pertemuan antara Territory Stingers menentang PKS UNITEN pada petang ini sebelum dapat mengetahui lawannya pada aksi separuh akhir itu.
“Pada perlawanan separuh akhir Piala Vivian May Soars nanti, kita tidak pasti lagi siapa yang bakal ditentang sama ada pasukan Territory Stingers ataupun Terengganu.
“Namun pasukan manapun yang bakal ditentang kami sudah bersedia, lagipun jika dilihat atas kertas pasukan kami tiada masalah untuk layak ke pentas final.
“Apa yang paling penting pemain perlu fokus pada aksi separuh akhir terlebih dahulu sebelum mengintai peluang untuk mara ke final dan seterusnya merangkul kejuaraan treble,” katanya.
Terdahlu pada perlawanan terakhir liga menentang Terengganu di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Negeri Sembilan menang 6-0.
© New Straits Times Press (M) Bhd




