Guru tadika didakwa pecah amanah yuran tadika RM8,640

Guru tadika didakwa pecah amanah yuran tadika RM8,640

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Seorang guru tadika mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan pecah amanah membabitkan yuran tadika berjumlah RM8,640, empat tahun lalu.

Tertuduh, Noraniza Mohd Husni @ Mohd Sabri, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut keempat-empat pertuduhan itu, tertuduh sebagai Ketua Cawangan sebuah tadika didakwa secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta syarikat iaitu yuran tadika yang dibayar pelanggan berjumlah RM950 hingga RM4,930.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Adda 7, Taman Adda Heights di sini antara 9 Jun 2022 hingga 3 Oktober 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tidak melebihi 14 tahun dan dengan sebat tidak kurang daripada enam kali serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM8,000 dan menetapkan 3 November depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shamira Mohd Luthfi Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Akmal Mazlan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top