Trump ikrar bebaskan baki tahanan politik di Venezuela

Trump ikrar bebaskan baki tahanan politik di Venezuela
Trump ikrar bebaskan baki tahanan politik di Venezuela

Donald Trump. Foto Agensi

WASHINGTON  – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa berikrar Washington akan memastikan pembebasan semua tahanan politik yang masih ada di Venezuela, sambil mendakwa negara Amerika Selatan itu sudah mengalami transformasi ekonomi dan politik, lapor Anadolu Ajansi.

“Kami akan membebaskan mereka semua. Seperti yang anda tahu, kami sudah membebaskan ramai tahanan politik dan selebihnya juga akan dibebaskan,” kata Trump kepada pemberita sebelum berlepas ke China.

Sambil memuji Pemangku Presiden Delcy Rodríguez, beliau berkata: “Delcy menjalankan tugas dengan baik,” selain mendakwa rakyat Venezuela gembira dengan apa yang berlaku.

“Seperti yang anda tahu, Exxon, Chevron dan semua syarikat besar sedang memasuki Venezuela, dan negara itu kini memperoleh lebih banyak wang berbanding yang diperoleh dalam tempoh 45 tahun lalu,” katanya.

Washington melaksanakan Operasi Absolute Resolve pada 3 Januari bagi menangkap Presiden Venezuela, Nicolás Maduro dan menahannya di bawah tahanan AS.

Tentera AS melancarkan serangan udara terhadap sasaran di utara Venezuela, termasuk infrastruktur pertahanan udara dan komunikasi, manakala pasukan operasi khas menyerbu Caracas untuk menahan Maduro dan isterinya, Cilia Flores.

Pentadbiran Trump menggambarkan operasi itu sebagai penguatkuasaan semula Doktrin Monroe yang diisytiharkan pada 1823 bahawa benua Amerika tertutup kepada pengaruh Eropah, serta tindakan terhadap dakwaan pengedaran dadah dan rasuah, selain secara jelas mengaitkannya dengan usaha mendapatkan pengaruh ke atas rizab minyak Venezuela. – Bernama

Scroll to Top