anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Selangor terus memperkukuh kesiapsiagaan pengurusan bencana menerusi pelancaran rasmi Selangor Special Incident and Emergency Response Rapid Team (SIERRA).
Pasukan itu dirasmikan oleh Pengarah APM Negeri Selangor, Kolonel (PA) Fazlisyah Muslim di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.
Ia turut dilancarkan secara rasmi sempena Sambutan Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-74.
Selain pelancaran penubuhan SIERRA, majlis itu turut menyaksikan penyerahan Surat Lantikan kepada anggota pasukan khas itu bagi memantapkan lagi pengoperasian tindak balas bencana serta perkhidmatan kecemasan MERS 999 di seluruh negeri.
Bagi memastikan liputan yang lebih cekap dan pantas, pengoperasian SIERRA di Selangor dibahagikan kepada tiga zon strategik.
Langkah ini diharapkan dapat meningkatkan kecekapan pasukan dalam menangani sebarang insiden kritikal dan situasi kecemasan dengan lebih berkesan.
Penubuhan SIERRA ini juga menyokong kesiapsiagaan lebih daripada 2,000 anggota sukarelawan dan sokongan APM Selangor yang sedia digerakkan pada bila-bila masa
SIERRA bertindak sebagai elemen sokongan taktikal utama (rapid team) kepada pasukan induk APM Selangor.
Menurut pihak pengurusan, pasukan ini masih berada di peringkat awal pasca-penubuhan dan sedang melalui proses pemantapan keanggotaan serta logistik bagi memastikan impak operasi yang maksimum.
Pihak pengurusan APM Selangor turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada semua anggota yang menerima watikah pelantikan, di samping menyeru agar tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan berteraskan motto ‘Sedia Pantas Berintegriti’ demi menyemarakkan lagi perkhidmatan pertahanan awam di negara ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




