asmaini@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta terus bertindak tegas, bebas dan profesional berasaskan bukti, tanpa mengira kedudukan, pangkat, kekayaan mahupun hubungan politik atau pengaruh seseorang.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ini kerana tiada sesiapa boleh berada di atas undang-undang.
Beliau berkata, memasuki usia 59 tahun, harapan rakyat terhadap institusi antirasuah negara itu semakin tinggi.
“Untuk itu, penguatkuasaan perlu dilaksanakan tanpa rasa takut atau pilih kasih bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap SPRM terus diperkukuh.
“MCW juga menyambut baik penekanan terhadap penguatkuasaan berkualiti, pencegahan berasaskan risiko, penggunaan teknologi serta pengurusan organisasi yang profesional dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan sempena Ulang Tahun Ke-59 SPRM, hari ini.
Menurut Jais, usaha memperkukuh institusi itu juga perlu diteruskan menerusi reformasi struktur dan undang-undang yang dapat meningkatkan kebebasan, akauntabiliti serta ketelusan SPRM.
Katanya, mekanisme semak dan imbang yang kukuh penting bukan untuk melemahkan SPRM, sebaliknya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi berkenaan.
“‘Bagi MCW, ukuran kejayaan memerangi rasuah tidak seharusnya terbatas kepada jumlah tangkapan, siasatan atau pendakwaan semata-mata.
“Sebaliknya, ukuran yang lebih besar ialah sejauh mana ketirisan dapat dihentikan, kelemahan sistem diperbaiki, ruang rasuah ditutup dan budaya integriti menjadi amalan masyarakat serta pentadbiran negara,” katanya.
Beliau berkata, selepas hampir hampir enam dekad, perjalanan institusi pencegahan rasuah negara itu membawa amanah besar untuk mempertahankan integriti negara, melindungi wang rakyat dan memastikan kuasa awam tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi.
Justeru katanya, MCW merakamkan penghargaan terhadap jasa, pengorbanan dan keberanian ribuan pegawai SPRM yang bertugas di lapangan mahupun di belakang tabir dalam usaha memerangi rasuah.
“MCW pada masa sama turut menggesa semua pihak termasuk kerajaan, Parlimen, sektor swasta, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), media dan rakyat supaya bersama-sama mempertahankan integriti kerana usaha memerangi rasuah bukan tanggungjawab SPRM semata-mata.
“Selepas 59 tahun, perjalanan ini masih panjang. Kenang perjuangan yang sudah dilalui, hargai mereka yang mempertahankan integriti dan teruskan perjuangan yang masih belum selesai,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




