CHENNAI – Langkah kerajaan baharu Tamil Nadu menutup 717 premis penjualan arak milik kerajaan negeri mendapat reaksi positif khususnya dalam kalangan penduduk wanita yang melihat tindakan itu sebagai usaha melindungi institusi keluarga dan keselamatan sosial.
Pemimpin wanita Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK), S Keerthana berkata, keputusan Ketua Menteri Tamil Nadu, Vijay menutup premis arak berhampiran kuil, sekolah dan terminal bas merupakan antara janji terawal yang terus dilaksanakan selepas mengambil alih pentadbiran negeri itu.
Menurutnya, langkah tersebut sudah lama dituntut golongan wanita yang mahu penjualan alkohol dikawal lebih ketat kerana sering dikaitkan dengan masalah sosial dan tekanan dalam keluarga.
“Ini adalah tuntutan lama wanita. Pengumuman ini mencetuskan suasana positif dan diraikan dalam banyak keluarga Tamil Nadu,” katanya.
Keerthana berkata, ramai penyokong menganggap tindakan itu sebagai antara dasar paling jelas dan pantas dilaksanakan kerajaan baharu TVK sejak memegang kuasa.
Sebelum ini, kerajaan pimpinan Vijay mengumumkan penutupan 717 premis TASMAC sebagai sebahagian langkah awal pentadbiran baharu yang berjanji mengurangkan kebergantungan terhadap hasil jualan alkohol di Tamil Nadu.
Langkah berkenaan turut dilihat sebagai usaha menarik sokongan berterusan pengundi wanita yang memainkan peranan besar dalam kemenangan TVK pada pilihan raya negeri baru-baru ini. – Agensi



