Sukma 2026: Haretashni tekad tebus kekecewaan edisi lepas

Sukma 2026: Haretashni tekad tebus kekecewaan edisi lepas
Sukma 2026: Haretashni tekad tebus kekecewaan edisi lepas

Haretashni (kanan) menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukan bagi persiapan menjelang temasya Sukma Selangor 2026 di Pusat Kecemerlangan Sukan Seksyen 6, Shah Alam baru-baru ini.

ATLET karate Selangor N Haretashni tekad mahu menukar warna pingat pada penampilan terakhir di pentas Sukan Malaysia (Sukma) Ogos ini.

Selepas sekadar meraih pingat perak pada Sukma Sarawak 2024, atlet berusia 21 tahun itu berkata fokus utamanya adalah meraih emas acara kumite individu selain membantu Selangor mempertahankan gelaran acara kumite berpasukan wanita yang dimenangi pada Sukma edisi lepas.

Beliau berkata dalam memastikan hasrat tersebut menjadi kenyataan, persiapan telah dimulakan seawal tahun lepas menerusi program latihan intensif serta penyertaan dalam beberapa kejohanan sebagai medan mengasah dan menguji kemampuan diri.

“Tahun ini saya sertai banyak kejohanan untuk tengok tahap peningkatan prestasi.

“Minggu lepas saya bertanding dalam Kejohanan Karate Kebangsaan MAKAF ke-34 dan meraih pingat perak. Walaupun kalah di final, saya nampak ada peningkatan dalam persembahan,” katanya.

Haretashni turut meramalkan saingan sengit bakal diberikan atlet Sabah susulan pemerhatian pasukan dalam pertandingan sebelumnya yang mendapati kontinjen Negeri di Bawah Bayu itu dijangka menampilkan muka-muka baharu sekali gus membawa taktikal yang segar ke dalam perlawanan.

“Sekarang kami sudah nampak cara mereka berlawan dan taktik yang digunakan. Jadi dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini kami akan perbaiki kelemahan dan buat persediaan sebaik mungkin,” katanya yang juga pelajar di sebuah universiti swasta.

Sementara itu, Jurulatih Loganeshaa Rao berkata keyakinan pasukan untuk menyumbangkan emas kepada Selangor setakat ini amat tinggi dengan tumpuan kini sedang diberikan untuk memperkuat ketahanan psikologi dalam mendepani saingan temasya kelak.

Beliau berkata ia susulan karate bukan lagi satu sukan yang terpencil di negara dan telah melahirkan ramai petarung berkemahiran tinggi yang berkemungkinan menggugat hasrat emas pasukan.

“Sekarang karate sudah semakin kompetitif di Malaysia. Saya rasa kita boleh saksikan pertarungan yang baik dan kompetitif pada Sukma kali ini,” katanya. – Bernama

Scroll to Top