Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melancarkan Majlis Preview ASEAN Real Estate Conference (AREC) dan The 25th International Architecture, Interior Design & Building Exhibition (ARCHIDEX) 2026 di MITEC, Kuala Lumpur sebagai usaha memperkukuh kerjasama serantau serta rantaian bekalan industri hartanah.
Bukti keteguhan sektor hartanah negara
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam satu kenyataan memaklumkan penganjuran tersebut membuktikan keteguhan sektor hartanah negara meskipun dunia berdepan cabaran geopolitik dan kenaikan kos bahan binaan.

Malaysia antara ekonomi paling berdaya tahan di Asia
Beliau menjelaskan pengiktirafan institusi antarabangsa termasuk JPMorgan yang menyenaraikan Malaysia sebagai antara ekonomi paling berdaya tahan di Asia turut mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap pasaran tempatan.
AREC 2026 akan mengekalkan tiga segmen utama iaitu forum, business matching dan pameran, selain beberapa inisiatif utama seperti pencapaian RMK-12 dengan 511,544 unit rumah mampu milik diluluskan, insentif ‘fast-track’ kepada pemaju, inisiatif Simen Rahmah bagi kawalan kos bahan binaan serta resiliensi fiskal MADANI yang menyasarkan penjimatan sehingga RM10 bilion.

Bertemakan “Rethinking Real Estates: Housing With Heart”, program ini menggalakkan pemain industri beralih kepada pembangunan yang menekankan nilai kemanusiaan dan kesejahteraan komuniti.
“Kami mengamalkan prinsip pintu terbuka, minda terbuka dan hati terbuka. Malaysia juga memikul amanah sebagai Presiden UN-Habitat untuk menggerakkan prinsip 4P bagi memperkasa pembangunan mampan,” katanya.

AREC dan ARCHIDEX 2026 yang dianjurkan bersama C.I.S Network Sdn. Bhd. serta Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dijadualkan berlangsung pada 29 Julai hingga 1 Ogos 2026 di MITEC, Kuala Lumpur, dan dijangka menjadi platform global bagi pertukaran inovasi serta pengukuhan rantaian bekalan serantau.




