suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebuah kereta Honda Mobilio yang didakwa dibeli sebagai hadiah hari jadi disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur selepas disyaki kenderaan klon dalam Ops Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA) di Jalan Genting Klang, di sini, semalam.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, kenderaan berwarna perak itu ditahan kira-kira jam 7 malam selepas didapati melakukan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
“Hasil semakan lanjut mendapati jenis dan model kenderaan berkenaan tidak sepadan dengan maklumat yang direkodkan di dalam sistem MySikap.
“Pemeriksaan terhadap nombor casis dan nombor enjin turut mendapati tiada rekod pendaftaran sah bagi kenderaan berkenaan, sekali gus menimbulkan syak bahawa ia adalah sebuah kenderaan klon,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, ketika ditahan kenderaan itu dipandu wanita tempatan berusia 34 tahun yang bekerja sebagai tukang masak.
Katanya, wanita terbabit memaklumkan dia tidak mengetahui status sebenar kenderaan itu dan hanya menggunakannya sejak kira-kira seminggu lalu selepas dipinjamkan oleh ahli keluarganya.
“Wanita itu memaklumkan bahawa kenderaan berkenaan ialah hadiah hari jadi kepada ibu mereka, yang diuruskan pembeliannya oleh abangnya yang berdomisil di Singapura,” katanya.
Hamidi berkata, pihaknya mengeluarkan Notis Saman P22 serta menyita kenderaan itu mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
Selain itu, katanya, antara kesalahan dikenal pasti ialah menggunakan kenderaan tidak berdaftar mengikut Seksyen 7(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, mempamerkan nombor pendaftaran bukan kepunyaan kenderaan itu mengikut Seksyen 108(3)(f) akta sama serta tiada perlindungan insurans mengikut Seksyen 90(1) akta berkenaan.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya memandang serius penggunaan kenderaan klon kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya serta menyukarkan proses penguatkuasaan.
“Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa memastikan status pemilikan dan pendaftaran sesebuah kenderaan disemak terlebih dahulu sebelum membeli, menggunakan atau menerima kenderaan daripada mana-mana pihak bagi mengelakkan terlibat dengan kesalahan berkaitan kenderaan klon.
“JPJ WPKL akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras penggunaan kenderaan tidak sah dan memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang jalan raya,” katanya.
Katanya, orang awam boleh menyalurkan maklumat atau aduan melalui Aplikasi MyJPJ (e-Aduan) atau e-mel: aduantrafik@jpj.gov.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd




